HomeUtamaKedai dobi tanpa lesen boleh mengundang risiko keselamatan

Kedai dobi tanpa lesen boleh mengundang risiko keselamatan

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Pengusaha dobi di negeri ini perlu mendapatkan kelulusan dan lesen gas yang sah daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bagi menggunakan sistem gas berpaip untuk mesin pengering dan pemanas air di premis masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, sebagai badan kawal selia bagi industri tenaga di Sabah, ECoS perlu memastikan reka bentuk sistem perpaipan gas di premis-premis dobi dipasang mengikut piawaian yang ditetapkan serta selamat digunakan oleh pengguna.

“Mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi perkara ini boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 4 (3) Enakmen Bekalan Gas 2023, sekiranya didapati bersalah didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya 

Beliau berkata demikian pada Seminar Pematuhan Bekalan Gas kepada pengusaha-pengusaha dobi yang memerlukan lesen penggunaan gas daripada ECoS di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ridwan Sham.

Seminar yany diadakan itu adalah bagi meningkatkan kefahaman mengenai aspek keselamatan sistem perpaipan gas dan kesedaran terhadap prosedur permohonan lesen yang melibatkan kelulusan pemasangan (ATI) dan permohonan kelulusan pengendalian (ATO). 

Penceramah yang mewakili ECoS adalah melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), BOMBA, dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 

Abdul Nasser berkata, masih terdapat pengusaha dobi yang kurang kesedaran atau mengabaikan keperluan undang-undang dan pematuhan piawai keselamatan yang ditetapkan yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan, kebakaran atau letupan yang disebabkan oleh kebocoran gas.

Selain daripada menganjurkan seminar-seminar kesedaran, ECoS akan kerap melakukan pemantauan terhadap premis dobi yang beroperasi tanpa lesen gas ECoS yang sah dan surat peringatan akan dikeluarkan bagi memastikan pematuhan oleh pengusaha dobi terhadap Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular