HomeUtamaAirAsia kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang, penerbangan pertama ke Sabah...

AirAsia kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang, penerbangan pertama ke Sabah & Sarawak

Read Time:2 Minute, 58 Second

SUBANG: AirAsia hari ini memulakan operasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), yang lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, dengan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak.

Dua penerbangan ini menandakan peristiwa penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu dengan menghubungkan semula perkhidmatan selepas 24 tahun pelancaran operasi pertamanya dari lapangan terbang yang sama.

Penerbangan pertama AK4102 dari Kota Kinabalu berlepas pada jam 6:25 pagi dan telah tiba di Lapangan Terbang Subang pada jam 9:00 pagi. Pesawat tersebut disambut dengan pancuran air semasa ketibaan serta diraikan oleh pihak pengurusan Capital A dan AirAsia.

Sambutan tersebut diikuti dengan majlis perlepasan penerbangan AK4235 ke Kuching dari Lapangan Terbang Subang pada jam 9:30 pagi.

Penyambungan semula perkhidmatan penerbangan AirAsia ke Lapangan Terbang Subang akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dalam negara dan di rantau ini.

Pada tahun 2023, syarikat penerbangan ini telah membawa lebih daripada 14 juta tetamu di seluruh rangkaian domestik dengan 918 penerbangan mingguan.

Dengan penambahan operasi di Subang, syarikat penerbangan ini berhasrat untuk meningkatkan lagi jumlah penumpang domestiknya.

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata kepulangan kami ke Lapangan Terbang Subang adalah satu kenangan manis buat semua kakitangan AirAsia.

“Inilah tempat di mana segalanya bermula di mana kami merealisasikan impian untuk mendemokrasikan perjalanan udara.

“Kami berbangga untuk membawa pesawat kami kembali ke Subang kerana ia bukan sahaja mengimbau masa lalu malah merangka hala tuju baharu untuk masa depan kami.

“Ini adalah kejayaan penting bagi AirAsia dan kami yakin kepulangan ke Subang akan menandakan permulaan baharu dalam sejarah kami dalam usaha berterusan mencapai kejayaan dan menetapkan taraf baharu dalam industri penerbangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Tan Sri Tony Fernandes selaku Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group berkata Lapangan Terbang Subang sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya.

“Di sinilah kami memulakan langkah pertama sebagai sebuah syarikat penerbangan kecil dengan impian yang besar.

“Hari ini kami kembali dengan semangat dan harapan yang sama beserta pengalaman dan cita-cita yang jauh lebih besar untuk menerokai peluang pertumbuhan baharu bagi AirAsia dan Capital A.

“Pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dijangka merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab penerbangan terkemuka di rantau ini.

“Penyambungan semula perkhidmatan pesawat satu lorong di sini adalah langkah ke arah memodenkan lapangan terbang bersejarah ini sebagai terminal bandar berpotensi tinggi yang akan berfungsi sebagai hab untuk pengembara perniagaan.

“AirAsia kini berada di kedudukan terbaik untuk mengembangkan perkhidmatan melalui perniagaan Capital A lain seperti Teleport, MOVE, Asia Digital Engineering, Santan, GTR dan lain-lain, serta komited untuk menyumbang kepada transformasi penting dalam industri penerbangan negara,” katanya.

Manakala Dato’ Kapten Fareh Mazputra, Pengarah Urusan AirAsia Malaysia berkata Lapangan Terbang Subang mewakili impian mereka yang terus berkembang.

“Sebagai seseorang yang memulakan kerjaya dengan AirAsia dari lapangan terbang ini, kepulangan ini adalah sangat bermakna.

“Kehadiran semula kami di sini dengan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak, bukan sahaja mengimbau kejayaan kami di masa lalu malah memperkukuhkan masa depan kami.

“Lokasi strategik lapangan terbang ini dengan kedudukannya yang berdekatan dengan pusat bandar dan kawasan setempat menawarkan pengalaman perjalanan lebih optimum dan fleksibel untuk para tetamu kami, terutamanya mereka yang membuat perjalanan ke dan dari Sabah dan Sarawak.

“Kami berharap untuk menjadikan Subang sebagai hab keenam AirAsia di Malaysia pada masa akan datang seterusnya mengembangkan lagi rangkaian kami dan meningkatkan kebolehcapaian untuk pengembara di rantau ini,” katanya.

Kepulangan AirAsia ke Lapangan Terbang Subang memperkukuh kedudukannya sebagai syarikat penerbangan terbesar berdasarkan kapasiti di Malaysia.

Pengembangan ini juga menjadikannya syarikat penerbangan dengan rangkaian domestik paling luas sebanyak 40 laluan di seluruh negara dengan 1,860 penerbangan domestik mingguan menjelang akhir bulan Disember 2024.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular