HomeUtamaHari Sabah bukti semangat kebangsaan, rakyat tidak iktiraf tuntutan luar

Hari Sabah bukti semangat kebangsaan, rakyat tidak iktiraf tuntutan luar

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu: Sambutan Hari Sabah adalah bukti semangat kebangsaan orang Sabah untuk mendapat kebebasan dari penjajah sekali gus tidak mengiktiraf sebarang tuntutan luar ke atas negeri ini

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan kerana rakyat negeri ini telah memilih untuk bersama-sama membentuk negara Malaysia.

“Hari Sabah yang diraikan bersama-sama Hari Kebangsaan pada 31 Ogos adalah hari yang sangat bersejarah. Ia adalah bukti semangat patriotisme orang Sabah untuk mendapat kebebasan daripada penjajah kerana Sabah adalah sebahagian daripada Negara Malaysia.

“Masa depan Sabah terletak di tangan kita, oleh itu marilah kita bersama-sama terutama generasi muda untuk menggembleng tenaga, berganding bahu, berusaha sebaik mungkin memastikan negeri ini terus maju dan makmur serta rakyat kekal bersatu padu,” katanya.

Oplus_0

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Sabah 2024 di Padang Merdeka, di sini malam ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin telah menyempurnakan majlis pemasyhuran Sambutan Hari Sabah 2024.

Hadir sama isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.

Hajiji berkata, kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuhkan sistem pendidikan, membangunkan infrastruktur yang lebih baik dan memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri.

Katanya, sambutan Hari Sabah bukan hanya meraikan pencapaian tetapi juga menghargai dan mengenang kembali perjalanan panjang yang telah dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

Menurutnya, kerajaan negeri pada hari ini sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Matlamat kita adalah jelas, iaitu mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Kita percaya, dengan hubungan yang akrab dengan kerajaan Persekutuan, ia akan memudahkan segala urusan termasuk membabitkan Perjanjian MA63, atau perkara- perkara lain yang berkaitan dengan pembangunan dan kenegaraan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus mendokong dasar pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya selari dengan semangat gagasan Malaysia MADANI yang menginginkan negara pesat membangun, berperanan tinggi di peringkat global sekali gus menjadi negara yang dihormati dan disegani.

“Malah, hasil corak kepimpinan negeri yang mesra pelabur, ia menjadikan Sabah tumpuan pelabur asing dan domestik yang turut memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. Sabah telah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion merentasi pelbagai sektor pada tahun 2023 dan telah merekodkan hasil kutipan negeri hampir RM7 bilion pada tahun yang sama.

“Kini, kerajaan Sabah sedang meneroka potensi Ekonomi Biru melibatkan penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu serta produk yang boleh dihasilkan daripada industri itu. Penerokaan itu antara usaha berterusan dan agresif bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebagai tambahan kepada sumber sedia ada,” katanya.

Pengisytiharan Hari Sabah pada 31 Ogos telah diwartakan Kerajaan Sabah pada bulan Jun lalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tambah baik jejantas Petagas bakal tingkat keselamatan penduduk – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular