HomeUtamaSabah diberi kuasa laksana program Sabah-MM2H

Sabah diberi kuasa laksana program Sabah-MM2H

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah diberikan kuasa bagi melaksanakan program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H).

Ia selepas Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menyerahkan surat hasrat kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KePKAS), Josie Lai Mei Sing baru-baru ini oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Penyerahan itu disaksikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, selepas pertemuan KePKAS dan MOTAC yang diadakan di Bilik Persidangan Kementerian, di sini.

Pertemuan itu susulan mesyuarat khas di antara Christina dan MOTAC di Kuala Lumpur pada Julai lalu yang mana Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan mengenai penurunan kuasa penuh kepada Sabah untuk melantik ejen negeri bagi program Sabah-MM2H.

Christina berkata dengan perwakilan kuasa pelantikan ejen kepada negeri ini, program Sabah-MM2H akan berada di bawah pengurusan KePKAS.

“Pewakilan kuasa ini merujuk kepada pelantikan ejen oleh KePKAS, pemantauan ejen, dan penguatkuasaan program. KePKAS mempunyai garis panduan sendiri untuk pelantikan dan pengeluaran lesen kepada ejen.

“Ejen-ejen ini perlu mendapatkan lesen untuk beroperasi dan membantu pelanggan dalam memohon penyertaan dalam Sabah-MM2H.

“Kabinet Negeri telah meluluskan terma dan syarat untuk penyertaan dalam program itu,” katanya sambil menambah sebarang ulasan pada masa depan akan dirujuk kepada Kabinet untuk kelulusan.

Katanya, jawatankuasa negeri yang menyelia operasi Sabah-MM2H dipengerusikan oleh menteri dan ia akan bermesyuarat secara berkala untuk menapis permohonan sebelum mengeluarkan pas MM2H kepada pemohon yang berjaya.

“KePKAS) sedang dalam proses menerima dan memproses permohonan ejen yang berkelayakan untuk pelantikan yang diperlukan,” katanya.

Program Sabah-MM2H diluluskan secara prinsip oleh Kerajaan Negeri pada Februari 2023 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Jun lalu.

Pada mesyuarat itu, Roslan menggesa mesyuarat tiga hala pada masa hadapan antara MOTAC, KePKAS dan Kementerian Pelancongan Sarawak untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul daripada pelaksanaan MM2H di Sabah dan Sarawak. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Tanglung, Hari Malaysia platform penting semarak semangat cinta negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular