HomeUtamaSyarikat pembungkus minyak masak (repackers) tidak terlepas siasatan kes ketirisan

Syarikat pembungkus minyak masak (repackers) tidak terlepas siasatan kes ketirisan

Read Time:2 Minute, 2 Second

KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 bagi mengekang kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

Ini meliputi bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak bungkusan polibeg 1kilogram (kg), gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih bertapis 1kg.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 28 Ogos 2024, sebanyak 29,487 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara.

Katamya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,005 kes direkodkan dengan 496 individu telah berjaya ditangkap melibatkan warga tempatan dan warga asing dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM80.11 juta.

“KPDN akan terus meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan termasuk memperkasa kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Sentuhan Kasih Bertemu Masyarakat & Kempen Kibar Jalur Gemilang bertempat di Dewan Tomborungus di sini, hari ini.

Menurut Armizan, dalam satu kes terbaharu pada 23 Ogos 2024, KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan ke atas tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan.

“Dalam serbuan tersebut, sebanyak 180,200 kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi tersebut dianggarkan berjumlah RM490,500.00,” katanya.

Beliau berkata, bagi membantu siasatan, seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun bersama dua orang lagi lelaki warga asing yang juga merupakan pekerja syarikat berkenaan telah ditahan.

“Hasil siasatan awal, aktiviti yang disyaki telah didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini adalah bertujuan menyeleweng dan memindahkan (decanting) minyak masakbersubsidi bungkusan polibeg 1kg untuk jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup keluar ke negara jiran.

“Siasatan sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] termasuk bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi itu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, KPDN mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi polibeg 1kg untuk lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.

“Selain pemborong dan peruncit, pihak syarikat pembungkus (repackers) juga tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan.

“Syarikat pembungkus (repackers) akan turut disiasat sekiranya sesuatu jenama yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan dirampas dalam mana-mana operasi penguatkuasaan,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Tanglung, Hari Malaysia platform penting semarak semangat cinta negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular