Kota Kinabalu : Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah meraih kemenangan berganda dalam pertandingan perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024.
UiTM mendominasi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) apabila muncul juara dan naib juara melalui Komander Kesatria dan Kor Suksis manakala tempat ketiga disandang oleh Petronas Bridged Bomba Kimanis Petroleum Training Centre.
Sementara itu, Jabatan Perhutanan Sabah meraih gelaran juara bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi sementara Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Majlis Perbandaran Tawau masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori Jabatan kerajaan tidak Berpakaian rasmi pula, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar muncul juara disusuli Kementerian Kerajaan dan Perumahan Sabah di tempat kedua dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di tempat ketiga.
Turut menjuarai bagi kategori masing-masing, SK Sri Gaya bagi kategori Sekolah Rendah, SMK Putatan bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sabah Electricity Sdn Bhd bagi kategori Swasta atau Komersial, Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu (kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan) dan Persatuan Rumpun Bajausama Sabah (kategori Pertubuhan Etnik Sabah).
Perbarisan Hari Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens itu menyaksikan keputusan yang memukau dengan pemenang utama diumumkan dalam majlis penuh warna.
Acara tahunan ini menampilkan perarakan yang memaparkan disiplin dan kreativiti luar biasa dari pelbagai kumpulan dan agensi kerajaan.