HomeEkonomiUsahawan buat anjakan paradigma, tidak terlalu bergantung kerajaan - Zulfikri

Usahawan buat anjakan paradigma, tidak terlalu bergantung kerajaan – Zulfikri

Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Semua usahawan diseru membuat anjakan paradigma dengan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan dalam memajukan perniagaan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Menurutnya, sebahagian daripada usaha hendaklah datang daripada usahawan sendiri. Ibarat kata: “Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”.

“Para usahawan hendaklah berdikari dan sentiasa mencari pembaharuan dan berinovatif untuk mendapat pasaran yang lebih meluas.

“Kita perlu berani untuk mengambil langkah-langkah strategik bagi memperbaiki tahap perniagaan kita. Dengan cara ini, para usahawan dapat mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan “business related activities” bagi meningkatkan taraf hidup ke arah lebih berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Sempena Majlis Peluncuran Program ProSPEC Zon Sabah 2024 di sini, hari ini. (3 Sept)

Majlis Peluncuran Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) Zon Sabah 2024 yang julung-julung kali diadakan di negeri ini merupakan program yang dibangunkan bagi meningkatkan penyertaan usahawan serta pegangan ekuiti Bumiputera dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, guaman, perakaunan, senibina dan juruukur bahan.

ProSPEC juga memberi galakan kepada lepasan Institusi Pendidikan Tinggi MARA (IPMA), Universiti Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) khususnya pelajar tajaan MARA untuk menceburi bidang perniagaan.

Justeru itu, Zulfikri berkata, pelaksanaan program khas ProsPEC dilaksanakan secara berstruktur meliputi ekosistem keusahawan MARA yang menyeluruh seperti Latihan Keusahawanan secara berstruktur dan “hands on” dengan konsep “teaching factory”, Pembiayaan dan Premis Perniagaan, Khidmat Nasihat dan Coaching serta Pemantauan Secara Berkala.

“Saya difahamkan Latihan ProSPEC di Negeri Sabah adalah nombor dua yang tertinggi di Malaysia selepas Negeri Selangor iaitu seramai 29 peserta dalam kluster perkhidmatan perubatan dan seorang dalam bidang perakaunan professional.

“Daripada 29 peserta tadi, 15 peserta telah berjaya membuka premis sendiri di bawah Program ProSPEC dan beroperasi sepenuhnya yang merangkumi 13 U.n.i. Klinik, dua U.n.i Dental dan satu PACCT (Irwan & Co. : Mohd Irwan Syah bin Jusli) dengan nilai keseluruhan kelulusan kemudahan pembiayaan MARA sekitar RM5 juta setakat Ogos 2024.

“Apa yang menarik perhatian saya adalah, laporan hasil jualan pukal untuk 15 premis U.n.i Klinik dan U.n.i Dental di Negeri Sabah termasuk 1 premis U.n.i Klinik di Wilayah Persekutuan Labuan telah mencecah nilai jualan tahunan sekitar RM4 juta setakat Ogos 2024.

“Angka ini dicapai dalam tempoh satu tahun setengah beroperasi dengan membuka peluang pekerjaan kepada lebih 100 orang penduduk setempat. Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan mereka ini,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran Program Latihan Keusahawanan MARA seperti yang diadakan pada hari ini adalah terungkap daripada landskap perniagaan yang sudah berlainan dengan cara perniagaan dijalankan pada satu ketika dahulu.

“Hari ini persaingan adalah begitu sengit sekali. Dunia semakin global dan modal mengalir dari dalam dan luar negara tanpa mengenal sempadan.

“Justeru, untuk menghadapi realiti dunia perniagaan hari ini, sewajarnya kita mempunyai knowledge dan know-how. Kalau kita tidak ada kepakaran, amat sukar untuk kita maju dan menjadi bangsa yang disegani dalam dunia perniagaan,” tegas Zulfikri.

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular