HomeUtamaUMS bakal miliki hotel dan makmal hospitaliti

UMS bakal miliki hotel dan makmal hospitaliti

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal memiliki sebuah hotel dan makmal hospitaliti lima tingkat yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pembinaan menerusi peruntukan berjumlah RM10 juta daripada peruntukan Rezab Kumpulan Wang Pembangunan Universiti bagi membolehkan pelajar terlibat membuat latihan amali yang berkaitan dengan industri perhotelan dan pelancongan.

“Hotel UMS dan makmal hospitaliti seluas setengah ekar ini kita jangkakan pembinaannya pada hujung tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Hotel ini juga akan berkonsepkan ‘Boutique’ hotel yang menempatkan 20 buah bilik selain ianya juga turut menghadap laut dan panorama matahari terbenam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Hotel UMS dan Makmal Pengajaran Hospitaliti Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS di sini hari ini.

Dr Kasim berkata, hotel itu juga akan turut dilengkapi dengan dapur pengajar selain dewan serbaguna untuk tujuan-tujuan konferens berskala kecil yang boleh memuatkan sekitar 100 hingga 150 peserta.

Katanya, pihaknya yakin menerusi pembinaan hotel itu ianya akan dapat memberi nilai tambah kepada graduan dan pelajar yang mengambil jurusan pengurusan perhotelan dan juga pengurusan pelancongan. 

“Di samping itu juga banyak juga fakulti-fakulti lain yang boleh menyumbang kepada fasiliti hotel UMS dan pengajaran ini. Seperti pelajar-pelajar dalam fakulti sains makanan dan permakanan di mana mereka juga menawarkan kursus-kursus teknologi makanan.

“Begitu juga dengan akademi seni, di mana pelajar-pelajar mereka boleh menjadikan juga fasiliti yang ada di hotel pengajaran ini untuk pelajar-pelajar untuk membuat persembahan seni kreativiti dia,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Kasim turut berharap agar hotel dan makmal hospitaliti ini akan dapat memenuhi keperluan industri yang menyumbang kepada industri sektor pelancongan khususnya di Sabah ini dan di Malaysia secara umum.   – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Ram Singh dilantik sebagai Presiden Persatuan Memanah Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular