KOTA KINABALU: Satu Kursus Modul Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik Dengan Cekap (PPPTEC) 2024 anjuran Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), telah diadakan khusus untuk para pengurus tenaga elektrik Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan Certified Energy Manager (CEM) keluaran Institusi Latihan Ditauliah ST yang sedang atau akan berkhidmat di Sabah.
Seramai 30 peserta dari seluruh Sabah telah menghadiri kursus ini, yang merangkumi sesi taklimat serta peperiksaan bagi menilai tahap pengetahuan peserta mengenai perundangan berkaitan yang berkuatkuasa di Sabah sejak 3 Januari 2024 yang lalu.
Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ridwan Saham berkata, peserta yang lulus peperiksaan boleh memohon daripada ECoS untuk mendapatkan Perakuan Pendaftaran Pengurus Tenaga Elektrik ECoS (bagi pemegang Perakuan Pendaftaran Pengurus Tenaga Elektrik ST) atau memohon daripada ECoS untuk menduduki peperiksaan lisan (bagi CEM keluaran Institusi Latihan Ditauliah ST).
“Ini adalah satu inisiatif penting yang dilaksanakan oleh ECoS untuk memastikan pengurus tenaga elektrik dan CEM memiliki perakuan pendaftaran ECoS yang setara.
“Semua pemegang Perakuan Pendaftaran Pengurus Tenaga Elektrik ST yang sedia ada diberikan tempoh sehingga 2 Januari 2025 untuk memiliki perakuan pendaftaran ECoS yang setara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. .
Menurut Ridwan, kursus ni merupakan satu langkah untuk memastikan mereka memiliki pengetahuan dalam bukan sahaja dari aspek teknikal tetapi juga peka dengan aspek-aspek berkaitan perundangan yang berkuatkuasa di negeri Sabah.
“Ini termasuklah EBE 2024 dan PPPTEC 2024. Ini adalah selaras dengan Kehendak Kelayakan di bawah Peraturan 12(1)(b), PPPTEC 2024,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan mana-mana pihak yang melanggar atau gagal untuk mematuhi perkara ini boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan 22, PPPTEC 2024 dan sekiranya didapati bersalah, didenda tidak melebihi RM20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.