Kota Kinabalu : Usaha menarik minat bakat tempatan untuk kembali berkhidmat di negeri ini menjadi antara agenda dalam pertemuan antara Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim di Sri Gaya semalam.
Sim memberitahu Ketua Menteri bahawa Kementeriannya, melalui HRD Corp akan membantu menangani masalah brain drain di Sabah dengan menarik bakat tempatan kembali ke negeri ini.
Perbincangan turut menyentuh topik cadangan agar Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) boleh mewujudkan pusat pemulihan untuk para ahlinya di Sabah.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Phoong Jin Zhe, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat Datuk Frankie Poon, Pengarah Jabatan Buruh Sabah Wan Zulkifli Wan Setapa, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemulihan PERKESO Datuk Dr Hafez Hussain.