KOTA KINABALU: Acara golf anjuran Kuala Penyu Golf & Country Club (KPGCC) yang menerima sambutan ramai terpaksa diputuskan menerusi kaedah ‘pemain membuat bayaran terawal akan terlebih dahulu diutamakan’ (first pay first serve).
Timbalan Presiden KPGCC, Drs Moneh Epin berkata, walaupun peserta dihadkan hanya 120 orang tetapi kejohanan jemputan itu kini telah menerima 136 pemain yang mendaftar setakat ini.
” Walaupun tarikh tutup berakhir pada 25 September ini, namun mereka yang membuat bayaran lebih awal akan diutamakan dalam senarai 120 pemain.
” Saya telah mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa penganjur dipengerusikan, Yussof Imbang semalam dan bersetuju mengenai ketetapan tersebut, ” katanya dalam kenyatan hari ini.
Drs Moneh berkata, kejohanan jemputan KPGCC 2024 akan berlangsung di lapangan golf, Sabah Golf & Country Club (SGCC) Bukit Padang, Kota Kinabalu pada 28 September ini bermula jam 7.00 pagi.
Menurutnya, kejohanan kali ini menonjolkan sedikit kelainan, jika tiada pemenang hadiah ‘hole in one’ sebuah motosikal maka hadiah utama itu dijadikan rebutan untuk cabutan tiket bertuah kepada pemain.
Selain itu katanya, KPGC menawarkan RM20 ribu hadiah terkumpul menerusi empat kategori yang dipertandingkan iaitu net, gross, wanita dan senior (60 tahun ke atas) selain 50 hadiah cabutan bertuah.
Menurut Drs Moneh, kejohanan golf kali Ke-3 itu ditampilkan dalam suasana meriah sekaligus menyaksikan acara sukan elit itu bakal menjadi acara tahunan KPGCC selepas ini.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada peminat golf yang mendaftarkan diri, Drs Moneh berkata kejohanan kali ini berjaya menarik penyertaan di kalangan pegawai kerajaan, swasta dan ahli korporat.