HomePendapatOrdinan Buruh perlu dipinda elak berlaku buruh paksa

Ordinan Buruh perlu dipinda elak berlaku buruh paksa

Read Time:3 Minute, 13 Second

Oleh MUDA MUHAMMAD

Ketika berucap merasmikan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan Kerajaan Negeri Sabah akan menyokong penuh pindaan ordinan buruh bila ianya dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri Sumber Manusia semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai 2024.

“Kerajaan negeri telah memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya kepada pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan itu adalah berkaitan dengan isu hak asasi manusia dan hak buruh serta penghapusan diskriminasi.” kata Hajiji.

Hajiji berharap bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024  akan mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen. Mengapa isu buruh paksa ini penting ditanggani oleh Kerajaan Negeri Sabah?

Ini kerana pindaan ini penting bagi memastikan peranan Kerajaan Negeri Sabah selari dalam meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini.

Isu buruh paksa ini perlu diselesaikan bagi memulih kembali imej Sabah dan negara ini berkaitan dengan pekerja asing, pendatang asing dan buruh paksa. Menurut laporan dairpada ILO antara tahun 2018 hingga 2020, Malaysia dihuni oleh antara 1.4 juta hingga 2 juta imigran yang ada dokumentasi dan dilaporkan pula oleh World Bank ada sejumlah 1.2 juta hingga 3.5 juta imigran di Malaysia dalam tempoh waktu itu.

Menerusi angka dan laporan ini, ia menjadikan Malaysia sebagai negara penerima imigran paling besar di Asia Tenggara. Dilaporkan juga oleh ILO, kesemua imigran ini menyumbang 20% kepada tenaga kerja low skilled dan semi-skilled dalam ekonomi.

Menurut statistik terbaru ILO, sehingga Julai 2023 terdapat sejumlah 3 juta imigran di Malaysia dan ianya adalah 8.9% daripada populasi rakyat negara ini (33.4 juta orang). Jika mengikut laporan dalam rajah di atas, imigran paling ramai adalah daripada Myanmar iaitu sejumlah 71.1%, Pakistan sejumlah 14%, Afghanistan sejumlah 8.3%, Somalia 3.5% dan negara-negara lain.

The International Organization for Migration (IOM) yang berpusat di Malaysia sejak 1980 telah banyak membantu imigran dan pelarian asing ini untuk mobilisasi ke tempat baharu, kebanyakkan ke negara Amerika Syarikat (77.2%), Australia (12.1%), Kanada (4.5%) dan negara-negara lain.

Apa isunya jika sesebuah industri itu didapati menggunakan tenaga kerja buruh paksa? Apa implikasinya? Implikasinya bagi memastikan produk dan barangan Malaysia dan negeri Sabah tidak lagi dikenakan sekatan masuk ke pasaran antarabangsa ekoran dakwaan menggunakan buruh paksa dalam pengeluaran barangan negara ini.

Pada tahun 2021, beberapa syarikat Malaysia sebelum ini dilaporkan diselidiki susulan dakwaan berlakunya perbuatan buruh paksa sejak dua tahun lalu sebelum dilarang menjual produk masing-masing di Amerika Syarikat (AS).

Antara syarikat yang dinamakan adalah YTY Industry Holdings Sdn Bhd; Brightway Group; Smart Glove; anak-anak syarikat Supermax Corporation Bhd (Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd, Maxwell Glove Manufacturing Bhd, dan Supermax Glove Manufacturing); Sime Darby Plantation Bhd dan FGV Holdings Bhd.

Bagaimanapun, pada 11 Februari 2022, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mendapati ada perkembangan menggalakkan dalam kalangan pengeluar Malaysia berikutan pengeluaran Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) terhadap beberapa syarikat kerana dakwaan buruh paksa.

Jika Ordinan Buruh Paksa ini dipinda, ianya akan memastikan nama Malaysia tidak lagi terpalit dengan isu buruh paksa ini. Dalam agenda besar Sabah Maju Jaya (SMJ) banyak industri terlibat dan sudah tentunya produk daripada Sabah akan menembusi pasaran eksport di negara luar nanti. Tiga eksport utama negeri Sabah iaitu petroleum mentah, minyak kelapa sawit dan gas asli cecair. Nilai tiga eksport ini mencecah billion.  

“Ini penting dalam membantu usaha kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang bukan saja memerlukan pekerja yang berdaya saing tetapi harus mematuhi perundangan negara,” kata Hajiji.

Oleh kerana itulah, Kerajaan Sabah sangat berharap kesemua 178,000 majikan di negeri ini akan sama-sama mengambil bahagian menandatangani ikrar dan aku janji dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa. Semoga dengan pindaan ordinan ini melonjak lagi nama dan produk dari Sabah ke pasaran antarabangsa.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Agenda Membasmi Miskin Tegar Di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular