HomeUtama'The Kopitiam' jadi tema pada Pameran MATTA tahun ini

‘The Kopitiam’ jadi tema pada Pameran MATTA tahun ini

Read Time:2 Minute, 19 Second

Kuala Lumpur: Tema ‘The Kopitiam’ digunakan pada Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, seperti tahun sebelumnya, Pameran MATTA sentiasa menjadi platform penting bagi mempromosikan pelancongan negeri kepada masyarakat luar.

“Sepanjang pameran berlangsung, Borneo menjadi destinasi kegemaran Malaysia yang diwakili Sabah dan Sarawak.

“Sabah diketuai Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan disertai 33 ejen pelancongan, artis tempatan dan rakan industri dengan pembukaan 60 gerai bagi Zon Sabah dengan bertemakan The Kopitiam yang memperkenalkan minuman tradisional Sabah iaitu kopi Tenom dan teh Sabah.

“Penyertaan Sabah di Pameran MATTA menggariskan komitmen untuk menyediakan pengalaman yang bercirikan pelancongan tempatan semestinya menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pembukaan rasmi Pameran Matta di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini. 

Christina berkata, pameran ini berfungsi sebagai pintu utama kepada peminat pelancongan untuk menerokai keindahan Borneo dan tawaran dan promosi eksklusif yang disediakan, diyakini akan memberi inspirasi kepada ramai pihak untuk menerokai Sabah.

Katanya, pada tahun ini pengunjung pameran bagi Zon Sabah boleh menikmati promosi istimewa termasuk rebat perjalanan sehingga RM150 bagi mana-mana pakej ke Sabah. 

“Insentif ini diwujudkan untuk memudahkan pelancong merancang perjalanan ke Sabah dan menikmati semua tawaran menarik yang disediakan.

“Dalam usaha meningkatkan industri pelancongan di Borneo, kita menjalin kerjasama antara Sarawak bagi mempromosikan Borneo sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia. 

“Dengan bekerjasama ini, kita dapat meningkatkan tawaran yang pelbagai di Sabah seterusnya memperkenal Sabah sebagai destinasi yang kaya bukan sahaja warisan budaya tetapi alam flora dan fauna di kawasan hutan serta lautan,” katanya.

Dalam pada itu, Christina berkata, pelancongan bukan sekadar mempromosikan destinasi tetapi juga membina hubungan dan mencipta kenangan.

“Sabah yang kaya dengan budaya, membawa pelancong luar menikmati alam semula jadi bermula dari puncak Gunung Kinabalu ke hidupan marin di perairan Sabah, pada masa sama kita juga mahukan pengunjung merasai keindahan Sabah dengan pilihan destinasi pelancongan serta layanan mesra dari warga Sabah sendiri.

“Saya juga memuji STB, yang diketuai oleh Pengerusinya Datuk Joniston Bangkuai dengan usaha berterusan meningkatkan industri pelancongan negeri melalui inisiatif memperkenalkan Sabah sepanjang pameran MATTA ini. 

“Usaha STB dalam mempromosikan produk tempatan dan memberikan pengalaman unik kepada pengunjung benar-benar mengujakan,” katanya.

Katanya, Sabah komited untuk mempromosikan pelancongan yang bukan sahaja mempamerkan keindahan semula jadi tetapi juga menyokong perniagaan tempatan dan memelihara warisan budaya.

“Saya gembira dengan peluang yang menanti untuk Sabah dan Sarawak. Marilah kita semua bekerja lebih gigih untuk mempromosikan wilayah kita yang indah, budaya unik dan kemesraan kepada dunia. 

“Bersama-sama, kita boleh menjadikan Borneo sebagai destinasi pilihan tidak kira kepada pengunjung luar dan dalam negara,” katanya.

Pameran MATTA yang menyediakan 1,590 gerai dirasmikan secara bersama Christina dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular