HomeUtamaTiga daerah di Sabah terima peruntukkan laksana projek pemulihan sawah terbiar

Tiga daerah di Sabah terima peruntukkan laksana projek pemulihan sawah terbiar

Read Time:1 Minute, 58 Second

Sook : Sebanyak RM5.82 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pemulihan sawah terbiar melibatkan tiga buah daerah di Sabah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, peruntukan yang disalurkan itu merupakan usaha yang diambil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan Kadar Sara Diri Beras di negeri ini 

Katanya, ia tu akan dapat memberi manfaat kepada pengusaha sawah padi selain membantu pengusaha menambah nilai serta meningkatkan hasil pendapatan tahunan para petani.

Antara daerah terlibat adalah di Sook, Papar dan Tuaran.

“Sebagai Ahli Parlimen yang membawa suara rakyat dari kawasan pedalaman, projek ini merupakan salah satu usaha yang saya bawakan khusus untuk membantu para pesawah kembali memainkan peranan yang aktif dalam industri padi beras,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Banci Pertanian 2024 Peringkat Zon Pedalaman Sabah dan Majlis Pecah Tanah Projek Pemulihan Sawah Padi Kampung Tulid, Kampung Kindasan, Kampung Pauh dan Alab Lanas, daerah Sook di sini hari ini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, daerah Sook merupakan antara kawasan yang sesuai untuk penanaman  padi sawah dengan keluasan 538 ekar. 

“Berdasarkan maklumat dalam sistem e-bajak, pada tahun 2023 terdapat seramai 556 orang yang mengusahakan sawah padi di daerah ini.

“Melalui projek pemulihan ini, KPKM bersama-sama Jabatan Pertanian Sabah mensasarkan untuk membuka dan memulihkan kawasan sawah padi yang terbiar di daerah Sook dengan kawasan seluas 246 ekar serta peruntukan sebanyak RM1.88 juta,” katanya.

Antara skop projek ini termasuklah meratakan sawah, membina jalan ladang sejauh 150 meter, perolehan dua buah traktor pembajakan dan sebuah jentera penuai, benih padi, baja dan racun pertanian. 

Dianggarkan kawasan seluas 246 ekar ini akan dapat mengeluarkan hasil sebanyak 3.0 mt/ha atau keseluruhannya 294 tan. 

Dalam pada itu, Arthur turut menyeru semua pihak untuk memberikan sokongan yang jitu dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024 khususnya memberi kerjasama kepada semua pembanci yang telah dilantik. 

Katanya, data yang diperolehi akan digunakan sebagai input untuk penambahbaikan program, bantuan dan insentif pertanian yang akan memberi manfaat kepada anda semua selaku petani, penternak, pekebun kecil, pesawah mahupun nelayan. 

Menurutnya, pelaksanaan Banci Pertanian 2024 menjadi kayu pengukur ‘Kunci Kemajuan Pertanian’ dalam pengumpulan data untuk melihat transformasi sektor pertanian negara.

“Saya merasakan bahawa inisiatif ini adalah tepat pada masanya dengan mengambil kira keperluan mendesak bagi mendapatkan data sektor pertanian yang terkini sejak kali terakhir dilaksanakan 19 tahun yang lalu,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular