HomeUtamaPenjara Lahad Datu mampu kurangkan isu kesesakan prospek 

Penjara Lahad Datu mampu kurangkan isu kesesakan prospek 

Read Time:2 Minute, 5 Second

Lahad Datu: Kompleks Penjara Lahad Datu di sini yang mampu menampung sehingga 1,500 orang banduan dilihat mampu mengurangkan isu kesesakan penjara sedia ada di negeri ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kompleks itu menunjukkan bukti serta komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dipelihara.

Katanya, ia juga dilengkapi dengan kemudahan teknologi moden selaras dengan fungsinya sebagai institusi penjara kategori maksimum yang boleh menempatkan prospek dalam pelbagai kategori.

“Justeru, pengoperasian penjara ini dapat membantu mengurangkan isu kesesakan penjara yang dialami institusi penjara lain khususnya di Sabah seperti penjara pusat di Kota Kinabalu, Penjara Tawau, Penjara Sandakan dan pusat koreksional Labuan.

“Selain itu, ia juga dilihat langkah positif dalam meningkatkan kualiti penahanan dengan menitik beratkan aspek layanan kepada prospek sepanjang menjalani hukuman dengan kemudahan yang disediakan. 

“Saya juga difahamkan bahawa kompleks ini telah diwartakan sebagai Pusat Pemulihan Akhlak Lahad Datu dan Pusat Pemulihan Khas Lahad Datu yang dijangka akan menampatlan tahanan dalam masa terdekat ini,

“Justeru peranan penjara ini bukan sahaja sebagai agensi pelaksana hukuman semata-mata tetapi ianya telah ditransformasikan kepada institusi pemulihan bagi persediaan prospek sebelum mereka kembali semula ke dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penjara Lahad Datu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di sini, semalam.

Shamsul berharap, dengan kemudahan yang lengkap pada Penjara Lahad Datu akan mampu memperbaiki akhlak prospek dan kembali kepada masyarakat dengan berguna.

“Penjara Lahad Datu juga kini dilihat sebagai satu transformasi penjara lama ke penjara yang paling moden di Malaysia, ia dilengkapi dengan sistem keselamatan elektronik bersepadu, ia juga merupakan salah satu mercu tanda di daerah Lahad Datu khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur keselamatan komuniti.

“Besarlah harapan kita bahawa dengan kemudahan yang lebih baik prospek akan dapat peluang kedua untuk memperbaiki diri melalui program pemulihan di dalam dan di luar penjara setelah kembali ke pangkuan masyarakat bagi individu yang berguna dan seterusnya mampu untuk menjana pendapatan kepada negeri dan tentunya kepada negara ini.

“Perkara ini selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara sebagai pusat pembangunan peradaban budaya kemanusiaan yang menekankan kepada pemulihan berimpak tinggi bagi mengembalikan insan perkasa untuk menjadi warga negara yang patuh kepada undang-undang dari segi rohani dan jasmani,” katanya.

Hadir sama, Isteri kepada Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Seri Nordin Muhamad.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Juhar banyak menyumbang kepada Sabah sepanjang tempoh perkhidmatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular