HomeUtamaKerajaan Sabah sasar 10,000 pelajar terima biasiswa

Kerajaan Sabah sasar 10,000 pelajar terima biasiswa

Read Time:3 Minute, 0 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menyasarkan seramai 10,000 pelajar di negeri ini akan menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sasaran tersebut ekoran penambahan dana sebanyak RM12 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM113 juta khusus untuk tajaan pendidikan yang diluluskan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, baru-baru ini.

“Saya ingin menyatakan bahawa Yang Amat Berhormat Ketua Menteri telah meluluskan peruntukkan tahun ini daripada RM55 juta menjadi RM101 juta.

“Terkini, jumlah tersebut ditambah lagi RM12 juta ertinya RM113 juta Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri.

“Alhamdulillah, dengan adanya biasiswa kerajaan negeri yang ditambah menjadi RM113 juta banyaklah yang boleh ditampung bagi anak-anak kita melanjutkan pengajian di dalam negara.

“Ini salah satu daripada komitmen dan keprihatinan beliau terhadap modal insan khususnya dalam bidang pendidikan dan keilmuan yang menjadi salah satu tunjang dalam Sabah Maju Jaya agenda modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Arifin yang juga Exco Pendidikan Negeri Sabah berkata, Sabah kini mencapai 9,000 pelajar yang melanjutkan pengajian dalam negara dan berhasrat untuk melengkapkan sehingga 10,000 pelajar.

“Untuk di luar negara, yang aktif dan ditambah dengan yang baharu ini kita sasarkan seramai 100 orang pelajar anak Sabah.

“Selebihnya dalam negara yang mana sasaran kita sudah mencapai 9,000 orang dan kita akan cukupkan 10,000 anak Sabah menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Justeru, Arifin mempelawa para pelajar untuk memanfaatkan peluang tajaan pendidikan dengan mengemukakan permohonan secara dalam talian iaitu melalui portal bersepadu, Portal Tajaan Pendidikan Sabah yang dilancarkan oleh Hajiji, Julai lalu.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kita telah membuat satu portal untuk anak-anak kita di seluruh Negeri Sabah.

“Portal ini telah dilancarkan oleh Ketua Menteri di mana dalam portal itu kita himpunkan semua penaja biasiswa pendidikan seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, biasiswa dan dermasiswa Yayasan Sabah, MUIS, Tabung Pendidikan Negeri Sabah dan lebih 10 inisiatif yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Arifin diiringi Pengerusi Jawatankuasa Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainuddin Aman yang juga Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Datuk Diyanah Abdullah ditemui media selepas Majlis Penyampaian Biasiswa Anugerah Cemerlang Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin Tahun 2024 di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Pada majlis itu, Tun Juhar menyampaikan sijil serta menyantuni lima pelajar cemerlang Negeri Sabah yang akan melanjutkan pengajian di beberapa universiti luar negara.

Antaranya, bekas pelajar SMK St. Joseph Papar, Asha Ann Katrie yang bakal mengikuti pengajian Bachelor of Commerce (Accounting) di University of Melbourne, Australia.

Anak sulung daripada dua beradik itu berjaya meraih 4.00 CGPA dan bercita-cita untuk menjadi forensic accountant.

“Saya gembira kerana terpilih untuk mendapat dalam biasiswa Tuan Yang Terutama, mulanya saya tidak sangka saya terpilih kerana masih banyak calon di luar sana hampir 8,000 orang yang cemerlang.

“Saya harap biasiswa ini dapat membantu saya untuk melanjutkan pelajaran nanti.

“Sebenarnya, saya hanya average student sahaja tetapi saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menaikkan pencapaian saya dalam peperiksaan percubaan SPM dan akhirnya dalam keputusan SPM saya berjaya membuatkan ibu bapa saya bangga,” ujarnya dengan rendah diri.

Ibunya, Evlyne June Charlie pula merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas peluang yang diberikan kepada anak sulungnya itu.

“Saya sangat bersyukur dan terharu diharapkan anak saya dapat kelegaan dalam pembelajaran, terima kasih Tuan Yang Terutama Tun dan kerajaan Sabah atas kesempatan ini,” katanya.

Selain Asha Ann, penerima lain terdiri daripada Nicholas Chung Hong Sheng (University of East London, England), Nur Nadhirah Sulaiman (Cardiff University, Wales), Aedan Luke Komuji (University of Liverpool, England) dan Muhamad Idham Noltam (Queensland University of Technology, Brisbane).

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular