HomeIsu tempatanEmpat peniaga pasar malam dikenakan tindakan, langgar peraturan Akta Timbang dan Sukat

Empat peniaga pasar malam dikenakan tindakan, langgar peraturan Akta Timbang dan Sukat

Read Time:1 Minute, 48 Second

Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan mengambil tindakan terhadap empat peniaga pasar malam bandar Sandakan di sini kerana tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah
KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, semua peniaga terlibat dikenakan tindakan dibawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.

Katanya, peniaga terlibat didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Hasil pemeriksaan kita ke pasar berkenaan pada 9 September lalu mendapati mereka masing-masing ada menggunakan satu unit alat timbang neraca spring yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

“Semua peniaga terbabit telah dikompaun RM200 setiap seorang. Sebanyak 102 Kenyataan Pemeriksaan Premis telah dikeluarkan semasa operasi pemeriksaan di pasar malam tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azdy berkata, pemeriksaan tersebut menumpukan kepada pematuhan terhadap Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang Dan Sukat 1972.

Katanya, fokus pemeriksaan adalah terhadap peniaga buah-buahan terutamanya durian yang bersifat sementara dan bermusim termasuklah peniaga-peniaga sayur di kawasan terbuka berhampiran Pasar Umum Sandakan.

“Selain itu, operasi pemeriksaan ini juga dijalankan untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai pentingnya ketepatan timbang dan sukat dalam perniagaan serta tidak mudah terpedaya dengan peniaga yang ingin mengambil kesempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Azdy berkata, sejak awal Januari sehingga hari ini, sebanyak 5,399 premis perniagaan telah diperiksa oleh KPDN Cawangan Sandakan dan di sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 158 kes telah dihasilkan oleh Cawangan ini.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan kes terbabit adalah berjumlah RM2,743,559.24.

Menurutnya, jumlah nilai kompaun keseluruhannya adalah sebanyak RM44,300.

“Selanjutnya sejak awal tahun 2024 sehingga kini, dua kes telah didakwa di mahkamah yang mana kedua-dua kes berkenaan telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan didenda keseluruhannya berjumlah RM24,000.

“Sepanjang tempoh dari 1 Januari 2024 hingga 13 September 2024, sebanyak 113 aduan pengguna telah diterima di KPDN cawangan Sandakan. Daripada 113 aduan tersebut, 106 aduan (93.8 peratus) telah disiasat dan diselesaikan manakala baki tujuh aduan lagi sedang dalam siasatan.

“KPDN Cawangan Sandakan sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga. Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan di KPDN yang telah disediakan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SANDAKAN

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular