HomeUtamaForum Serantau YAPEIM 2024 Ketengah Idea Bangun Ekonomi, Kewangan Islam Pada 1...

Forum Serantau YAPEIM 2024 Ketengah Idea Bangun Ekonomi, Kewangan Islam Pada 1 Dan 2 Oktober Depan

Read Time:1 Minute, 30 Second

PUTRAJAYA: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) akan menganjurkan Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) selama dua hari pada 1 dan 2 Oktober ini yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Prof. Dato’ Dr. Saadiah Mohamad berkata, forum yang mengetengahkan tema “Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau” itu akan menghimpunkan penceramah dan ahli panel berpengalaman antaranya dari Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand dan United Kingdom, selain dari Malaysia.

“Mereka yang dijemput mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang seperti tokoh politik, pakar ekonomi, tokoh belia, penyelidik, pemimpin pelajar, usahawan sosial, pensyarah universiti awam dan swasta, wakil kementerian, ketua-ketua badan bukan kerajaan dan juga pengamal industri dalam sektor ekonomi dan kewangan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar pra pelancaran FSY2024, di sini pada Jumaat. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YAPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed.

Beliau berkata, antara topik yang akan dibincang ialah memerangi kemiskinan tegar dan ketidaksamaan; kewangan Islam, teknologi kewangan atau fintech dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi hijau dan kelestarian; ekonomi digital; keusahawanan; belia, kemahiran dan pekerjaan; industri halal dan pelancongan Islam; dan memperkasa institusi dan agensi Islam.

Tambah Saadiah, FSY2024 mempunyai objektif untuk mengumpulkan pengamal serta pemikir dalam ekonomi dan kewangan Islam bagi mengenal pasti cabaran dan kehendak ekonomi serta kewangan semasa.

Selain itu forum berkenaan bakal merancang pelbagai pendekatan dan strategi yang berkesan untuk membantu kerajaan membangun ekonomi umat Islam, memperkasa sektor ketiga dalam usaha membangunkan ummah dengan lebih efisyen dan tadbir urus yang baik

“FSY2024 juga menghubungkan jaringan dan mengeratkan rantaian serta mewujudkan sinergi hubungan ekonomi antara ummah di rantau nusantara,” katanya.

Penganjuran FSY2024 mensasarkan kehadiran 500 peserta dari dalam dan luar negara.

Selain itu, ia boleh diikuti secara fizikal mahupun dalam talian di laman Youtube YAPEIM TV dan menerusi sesi siaran langsung di Facebook YAPEIM Official.

RELATED ARTICLES
Utama

JPJ Sabah terima lima unit kenderaan operasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular