GENEVA – Malaysia secara rasmi menyertai platform perkongsian data ‘WIPO Alert Data Sharing Platform’ yang diuruskan oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Organization, WIPO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah ini merupakan satu kemajuan penting dalam usaha memperkukuhkan penguatkuasaan hak harta intelek di negara ini, khususnya dalam konteks era digital yang semakin berkembang.
Menurutnya Majlis menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan WIPO yang berlangsung di ibu pejabat WIPO di Geneva, Switzerland itu menandakan komitmen Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa dalam menangani isu-isu pelanggaran harta intelek
“ Dengan penyertaan ini, Malaysia kini berada di barisan hadapan bersama 14 negara lain yang telah menyertai platform WIPO Alert. “
Platform ini adalah satu inisiatif dalam talian yang dibangunkan oleh WIPO untuk membantu agensi-agensi penguatkuasaan memuat naik dan mengakses senarai laman sesawang yang melanggar hak cipta “
Melalui perkongsian maklumat yang lebih meluas dan cepat ini, Malaysia dapat memperkukuh usaha memerangi pelanggaran hak cipta di platform digital, sekali gus melindungi kepentingan pemilik harta intelek katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Armizan lagi Inisiatif WIPO Alert bukan sahaja memperkasakan penguatkuasaan harta intelek di Malaysia, tetapi juga mempermudah tindakan dalam memerangi cetak rompak digital dan penyebaran kandungan tanpa kebenaran di internet.
“ Penyertaan Malaysia dalam platform ini menekankan komitmen negara terhadap perlindungan harta intelek, yang amat penting dalam menjaga integriti pasaran digital”
Tambahnya Sejak 2018 hingga 2024, sebanyak 4,084 sekatan terhadap laman sesawang yang melanggar hak cipta telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama MyIPO serta agensi-agensi lain.
Langkah ini diambil bagi memastikan kandungan yang melanggar hak cipta tidak tersebar luas di Malaysia.
“ Pembangunan ekosistem harta intelek yang kukuh adalah penting untuk menarik pelaburan asing dan meningkatkan kedudukan ekonomi negara.
Penyertaan Malaysia dalam platform WIPO Alert merupakan satu langkah strategik untuk mencapai matlamat ini katanya.