HomeUtama5,000 beg guna semula diagihkan sempena Hari Malaysia esok

5,000 beg guna semula diagihkan sempena Hari Malaysia esok

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 5,000 beg guna semula atau ‘Reusable Bag’ akan diagihkan kepada orang ramai sempena sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan esok.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, ia adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian untuk menyokong usaha Kerajaan dalam pengurangan penggunaan plastik sekali guna.

Katanya, usaha itu adalah bagi menggalakkan orang ramai untuk mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna dan membudayakan penggunaan ‘Reusable Bag’ semasa membeli belah.

“Kempen ini merupakan kesinambungan kepada program-program kesedaran alam sekitar yang telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar iaitu ‘Community Environmental Education Program’ (CEEP) di komuniti-komuniti tempatan dan Program Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) di sekolah-sekolah seluruh Sabah.

“Kempen seumpama ini juga telah lama dilaksanakan di Sabah oleh pelbagai pihak dan Kementerian menyambut baik dan mengucapkan ribuan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terutamanya atas inisiatif tiada lagi penggunaan plastik sekali guna di premis-premis berkenaan di sekitar kawasan Kota Kinabalu bermula 1 Ogos lalu,” katanya.

Christina berkata, bagi memperluaskan liputan program ini dan mempertingkatkan lagi penglibatan lebih ramai pihak, Kementerian akan terus menyokong dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seluruh Negeri Sabah agar lebih ramai pihak, terutamanya orang awam akan membudayakan penggunaan ‘Reusable Bag’ semasa membeli belah.

Katanya, kempen itu adalah salah satu usaha kerajaan bagi mengurangkan kesan pencemaran kepada alam sekitar akibat penggunaan dan pelupusan plastik sekali guna.

“Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar merupakan salah satu agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab di dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di Sabah, selaras dengan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam mempergiatkan usaha pelaksanaan pelan-pelan tindakan yang terkandung dalam Pelan Tindakan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pemegang taruh yang berkaitan,

“Ia adalah salah satu aspek yang ditekankan di dalam pelan tindakan tersebut adalah berkaitan pengurusan pencemaran daripada sisa termasuklah sisa pepejal,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Tanglung, Hari Malaysia platform penting semarak semangat cinta negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular