HomeUtamaMemulangkan Semula Setiap Nilai Maruah Sabah, Sarawak 

Memulangkan Semula Setiap Nilai Maruah Sabah, Sarawak 

Read Time:3 Minute, 10 Second

Kota Kinabalu: Hari ini sudah semakin ramai rakyat di Sabah dan Sarawak ‘celik’ mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mengapa ia menjadi isu utama perjuangan kedua-dua negeri berkenaan.

Peguam dan Aktivis MA63, Datuk Ansari Abdullah berkata sehubungan itu setiap kepimpinan kerajaan pusat yang mentadbir juga mempunyai pendekatan yang berbeza dalam menyelesaikan permasalan ini.

“Di dalam Perkara 112(1) adalah boleh digunapakai untuk Sabah dan Sarawak. Perkara 112(2), 112(3) pun begitu. 

“Tetapi di dalam peruntukan, dua per lima ataupun 40% ini hendaklah dipulangkan kepada Sabah (cuma Sabah mempunyai hak dan keistimewaan ini).

“Tetapi jika kita lihat daripada keputusan dari segi nilai wang, kerajaan negeri yang berjaya mengutip paling banyak hasil di bawah peruntukan ini adalah kerajaan sekarang (Gabungan Rakyat Sabah).

“Dan Perdana Menteri yang paling banyak memberikan pulangan di dalam bab ini adalah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya ketika ditemubual, baru-baru ini.

Antara hal yang jelas memberi pulangan hak kepada negeri Borneo ini adalah kutipan cukai jualan daripada Petronas, begitu juga dengan pengembalian wang yang dikutip oleh Persekutuan, yang merujuk kepada Interim, iaitu pembayaran sementara sehingga satu persetujuan diperolehi.

Menjelaskan lebih lanjut, Ansari berkata sekiranya wujud sesuatu permasalahan sehingga menyukarkan kedua-dua pihak kerajaan Pusat dan Negeri mencapai kesepakatan dibdalam isu Interim ini, maka dibolehkan untuk melantik seorang penimbang tara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Ini merujuk kepada satu klausa di dalam peruntukan Perlembagaan ini, dimana wujudnya satu syarat iaitu “subject to financial situation of the Federal Government“.

“Jadi ianya tertakluk kepada keadaan kewangan Kerajaan Pusat dan ini satu perkara yang sangat rumit untuk dibincangkan secara awam kerana ianya sensetif dan berada di dalam kedudukan kewangan negara. 

“Tidak akan ada Menteri Kewangan, atau Perdana Menteri akan menyatakan kita ini tidak ada duit, negara ini akan rugi… Jadi beliau mesti cakap ok. Tetapi bila cakap kita ok, akan timbul persoalan jika ok, mengapa tidak bayar, jadi disinilah masalahnya. 

“Pemulangan semula sebahagian daripada kutipan  hasil Kerajaan Persekutuan di dalam perlembagaan, ianya tidak diguna pakai oleh Sarawak, cuma Sabah mempunyai hak ini. 

“Jadi bila dikatakan Interim hanya untuk Sabah, ianya tidak salah, kerana Sabah yang hanya mempunyai hak ini dan lain kawasan tidak ada. 

“Dan Sarawak hanya berkelayakan untuk Geran Khas, dan Geran khas untuk Sabah dan Sarawak sememangnya ada namun ianya berasingan daripada pemulangan semula dua per lima ataupun 40% daripada kutipan yang dibuat,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Ansari menasihatkan kesemua pihak yang berjuang dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 agar berpijak pada realiti dalam soal tuntutan, dengan mengambil kira segala kemampuan dan keterbatasan dalam pelbagai aspek.

“Dan bajet ini harus diluluskan oleh Dewan Rakyat, dan juga Dewan Negara dan barulah wang itu boleh digunapakai. 

“Dan Kerajaan Pusat juga terikat dengan bajet tahunan untuk digunapakai, dengan diperuntukkan, dibentang dan diluluskan oleh kedua-dua dewan ini,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan beberapa pihaknya kononnya sudah sekian lama Sabah dan Sarawak menanti bayaran, manakala ada satu lagi yang mendakwa menanti tunggakan, Ansari melontarkan pandangannya supaya hal berkenaan dimasukkan di dalam Belanjawan tahunan.

Beliau memberi contoh bagaimana desakan disuarakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya perkara itu dimasukkan ke dalam Bajet 2018. 

“Namun ini tidak terjadi dan sehingga sekarang ianya masih tidak ada. Jadi kita harus bermula dengan memasukkan perkara ini di dalam Bajet,” katanya.

Mengambil kira hal ini juga, Ansari berkata ketelusan daripada Kerajaan Pusat adalah penting, terutama dalam mengistiharkan jumlah kutipan hal negeri.

“Kita di Kepulauan Borneo yang kaya, namun dari segi data dan statistik, insiden kemiskinan paling banyak di Sabah. 

“Seperti itik yang mati kehausan, itik yang berenang di atas air mati kehausan dan ini yang menjadi keresahan anak-anak Sabah. 

“Dan ini bukan janji, ini bukan geran jika geran ianya dibagi, tetapi ini adalah minta pemulangan semula cukai yang  dikutip daripada Sabah,” ujarnya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Tanglung, Hari Malaysia platform penting semarak semangat cinta negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular