HomeUtamaSabah tetap pertahankan kedaulatan dalam Malaysia

Sabah tetap pertahankan kedaulatan dalam Malaysia

Read Time:3 Minute, 1 Second

Oleh SABAH MEDIA TEAM

Kota Kinabalu: Sabah tidak akan berganjak walau seinci, malah akan tetap mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini selama-lamanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun rakyat dan negeri ini pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi, namun tegasnya semua itu tidak akan melemahkan semangat dan iltizam rakyat untuk terus mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Persekutuan Malaysia.

“Wajar saya sebutkan di sini, sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, bahawa Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya. Keputusan muktamad Mahkamah Agung di Belanda, yang menolak rayuan yang difailkan oleh pihak asing baru-baru ini, merupakan berita baik untuk Sabah dan rakyatnya.

“Keputusan muktamad itu sangat penting kepada Sabah kerana ia akhirnya menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan Kerajaan. Penolakan rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang Merdeka di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Premier Sarawak Tan Sri Abang Zohari Tun Abang Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Hajiji turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mempertahankan hak-hak dan kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara.

Katanya, di Padang Merdeka inilah pada 16 September 1963, lebih enam dekad lalu, Sabah memeterai perjanjian penuh bersejarah, membentuk negara Malaysia.

“Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu.

“Pada malam ini, kita meraikan kembali detik bersejarah itu, penyatuan dua wilayah di kepulauan Borneo dengan Semenanjung Tanah Melayu, bagi membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

“Dalam konteks negeri Sabah, keputusan yang dibuat oleh pimpinan terdahulu di negeri ini, antaranya seperti Tun Mustapha bin Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew, bukan sahaja suatu keputusan yang bijak dan tepat, tetapi berani, berprinsip dan berjiwa besar.

“Dengan keputusan itu, Sabah, daripada sebuah negeri yang mundur kesan daripada penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan kemajuan dalam semua aspek kehidupan,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan dan kemajuan negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan.

Walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertingkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, beliau berkata sejak lebih enam dekad lalu, Sabah telah mengalami perubahan yang cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Penyediaan dan menambah-baik kemudahan asas, menjadi agenda terpenting saat ini dan kita sedang melaksanakannya. Sungguh pun program berbentuk infra ini memakan sedikit masa, tetapi kita tetap melaksanakannya dengan matlamat tiada kawasan yang tercicir, dan tiada rakyat yang terpinggir, termasuklah pelaksanaan program yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan tegar,” katanya.

Beliau berkata, sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan; khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosio-ekonomi, infrastruktur dan tidak kurang pentingnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memupuk perpaduan melalui nilai budaya dan kaum, dan menjadikan itu sebagai imej Sabah yang harmoni, bertoleransi dan saling hormat menghormati.

“Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi kebanggaan kita bersama sejak sekian lama. Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa dan lebih menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Tanglung, Hari Malaysia platform penting semarak semangat cinta negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular