HomeUtamaEmpat negara catat kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah

Empat negara catat kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah

Read Time:2 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Seramai 586,501 pelawat melibatkan empat buah negara mencatatkan kemasukan pelawat asing tertinggi ke Sabah pada tahun ini sehingga Ogos lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, empat negara itu termasuklah China; Brunei; Indonesia dan Filipina.

Katanya, jumlah kemasukan pelawat asing itu juga dijangka akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama warga Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah ketika hadir di Majlis Apresiasi Serumpun Kasih Seluhur Budi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Rabu.

“Berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen negeri Sabah, kemasukan pelawat asing ke negeri ini dalam tempoh lima tahun iaitu 2020 sehingga Ogos 2024, jelas menunjukkan peningkatan drastik terutamanya dari negara China, Brunei, Indonesia dan Filipina.

“Mengambil kira rekod daripada Jabatan Imigresen itu, sebagai contoh untuk tempoh sepanjang tahun 2023 sahaja, jumlah kemasukan pelawat asing ke Sabah dari empat negara berkenaan adalah seramai 427,077 orang.

“Sesungguhnya, peningkatan ini adalah sesuatu yang sangat positif, khususnya dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini. Saya juga berharap jumlah kemasukan pelawat asing dari negara-negara lain akan turut meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Serumpun Kasih Seluhur Budi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.

Hajiji berkata, sistem tadbir urus dan kerjasama baik di antara kerajaan negeri dan Jabatan Imigresen Negeri Sabah dalam pengurusan imigresen yang efisien telah memudahkan kemasukan pelawat termasuk pelabur asing di negeri Sabah.

“Dengan menyediakan proses kemasukan dan permohonan pas yang mudah dan teratur, jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang mesra dan kondusif, selain menarik lebih ramai pelawat atau pelancong.

“Ia seterusnya membina keyakinan pelabur terhadap keupayaan negeri Sabah dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, sebagai sebuah negeri yang berkembang maju, adalah penting untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan dalam kalangan warga Jabatan Imigresen negeri Sabah.

“Oleh itu, saya mahu agar semua warga Jabatan Imigresen negeri terus memberikan perkhidmatan yang cekap, mesra, berintegriti dan profesional. Rakyat hari ini mempunyai pelbagai kehendak yang perlu disantuni dengan sebaiknya,” katanya.

Katanya, negeri Sabah yang berkeluasan lebih 72,000 kilometer persegi sudah pasti memberi cabaran kepada Jabatan Imigresen Negeri dalam menguruskan kemasukan pelancong dan warga asing ke negeri ini.

“Justeru, komitmen semua pegawai dan warga Jabatan Imigresen negeri Sabah yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi khususnya dalam mengawal selia 11 pintu masuk di Sabah, amat dihargai.

“Dalam pada itu, kedudukan Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran termasuk pembukaan Ibu Kota Nusantara Indonesia, sekali gus terdapat keperluan dalam aspek keselamatan rentas sempadan yang perlu dipertingkatkan di sempadan negeri ini dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan dua buah kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Negeri Sabah iaitu di ICQS Bantul dan ICQS Serudong, pada tahun lalu.

“Hasil usaha kerjasama di antara Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah, projek pembangunan di ICQS itu kini sedang dilaksanakan dalam merealisasikan hasrat pembukaan pintu sempadan antarabangsa darat yang pertama di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dr Maria dilantik Pengarah JKNS baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular