HomeUtamaMajikan sektor perladangan, pertanian diminta tampil daftar pekerja dibawah Program Regularisasi Bersasar

Majikan sektor perladangan, pertanian diminta tampil daftar pekerja dibawah Program Regularisasi Bersasar

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Semua pihak khususnya majikan yang terlibat dalam sektor perladangan dan pertanian di negeri ini diminta untuk tampil segera memberi kerjasama terhadap pelaksanaan Program Regularisasi Bersasar yang bermula bulan ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kejayaan pelaksanaan Program Regularisasi Bersasar ini juga adalah tertakluk kepada pihak kedutaan untuk mengeluarkan pasport tanpa sebarang halangan.

Katanya, selepas program ini dijalankan, JIM akan melaksanakan operasi secara besar-besaran dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mana-mana majikan yang gagal untuk hadir ke JIM sehingga Disember 2024.

“Hari ini saya diminta untuk memaklumkan kepada pihak majikan di luar sana mengenai Program Regularisasi Bersasar yang mana JIM diminta untuk membantu pihak berkuasa Kerajaan Negeri untuk memastikan kelancaran program ini yang sebenarnya telah dimulakan pada tahun 2019 dengan jumlah statistik yang diluluskan oleh pihak Kerajaan Negeri sebanyak sebanyak 123,575 pada tahun 2019.

“Bagaimanapun, program ini tertangguh pada 2020 akibat ancaman pandemik COVID-19 selain tidak mendapat kerjasama baik dari pihak majikan selain pihak kedutaan terlibat memberi alasan bahawa mereka tidak cukup bekalan untuk mengeluarkan pasport kepada pekerja-pekerja yang terlibat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Sitti Saleha berkata, pelaksanaan utama program itu adalah bagi mengurangkan keberadaan Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) khususnya di sektor peladangan dan pertanian yang melibatkan dua buah negara iaitu Filipina dan Indonesia.

Katanya, program ini juga merupakan program yang dilaksanakan dengan persetujuan kerajaan negeri dan persekutuan dimana JIM hanya mengeluarkan pas kerja iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk dua sektor berkenaan berdasarkan surat kelulusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada majikan atau syarikat.

“Sebagaimana yang saya maklumkan, ada seramai 123,575 orang yang telah diluluskan kouta pada tahun 2019. Bagaimanapun masih lagi berbaki sebanyak 26,925 yang belum tampil kehadapan untuk membuat permohonan PLKS ini.

“Justeru, pada hari ini adalah untuk memberi mesej jelas kepada pihak majikan bahawa mereka hendaklah tampil kehadapan berurusan dengan pihak Kerajaan negeri bagi mendapatkan kuota keperluan berapa mereka perlukan pekerja di sektor masing-masing.

“Mereka tidak boleh duduk diam mereka kena tampil kehadapan berurusan dengan pihak kerajaan negeri. Dalam mesyuarat yang dipanggil sebagai Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing yang dipengerusikan bersama Ketua Menteri Sabah dan juga Menteri Dalam Negeri telah bersetuju dan memutuskan bahawa kerajaan negeri dibenarkan untuk membuat satu bentuk pendaftaran kepada pekerja yang bekerja disektor perladangan dan pertanian.

“Justeru kita mengharapkan majikan terlibat memberi kerjasama dan kena tampil berurusan dengan pihak kerajaan negeri sebelum berakhir Disember tahun ini,”katanya.

Dalam pada itu, Sitti Saleha berkata, sebagai permulaan, Pihak Berkuasa Negeri Sabah akan menyelaraskan persiapan awal dengan melakukan pendaftaran bagi tujuan Program Regularisasi Bersasar terhadap 274 orang warga asing kategori tidak sah daripada tiga buah syarikat perladangan yang telah dikenalpasti. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular