HomeUtamaChina Southern Airlines lanjut penerbangan dua kali sehari ke Kota Kinabalu

China Southern Airlines lanjut penerbangan dua kali sehari ke Kota Kinabalu

Read Time:1 Minute, 30 Second

Guangzhou: China Southern Airlines bersetuju untuk melanjutkan penerbangan dua kali sehari dari Guangzhou ke Kota Kinabalu di bawah Jadual Musim Panas yang sedia ada kepada Jadual Musim Sejuk bermula 30 Oktober hingga Mac 2025.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, ini adalah hasil daripada pertemuan perniagaan beliau dengan delegasi dari China Southern Airlines yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Besar merangkap Naib Presiden Kanan Bahagian Perancangan Rangkaian, Tan Guang di sebuah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.

“Objektif utama pertemuan ini adalah untuk meneroka kemungkinan meningkatkan kekerapan penerbangan dari Guangzhou ke Kota Kinabalu, dan memperluaskan laluan antara China dan Sabah.

“Saya gembira dengan keputusan positif yang dibuat oleh China Southern Airlines. Selain daripada Festival Tahun Baru Cina, musim sejuk di China juga merupakan musim puncak untuk pelancongan, di mana Sabah menjadi destinasi pilihan,” katanya.

China Southern Airlines merupakan syarikat penerbangan terbesar di China, yang melayani lebih daripada 600 laluan di seluruh dunia.

Christina diiringi Setiausaha Tetap Kementerian, Josie Lai Mei Sing, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Tay Shu Lan dalam lawatan perniagaan beliau ke Guangzhou dan Shanghai.

Mengenai rasional langkah untuk menambah penerbangan dari Guangzhou ke Kota Kinabalu, Christina berkata ketibaan pelancong dari China adalah segmen pelawat antarabangsa terbesar di Sabah.

Katanya merangkumi jumlah sebanyak 262,070 ketibaan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dan ia menandakan peningkatan sebanyak 905.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu seramai 26,054 orang.

Menurutnya lagi, kumpulan ini menyumbang 41 peratus daripada jumlah ketibaan antarabangsa di Sabah yang menekankan keperluan untuk meningkatkan kapasiti penerbangan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Memetik angka daripada Bahagian Penyelidikan STB, beliau berkata ketibaan pelancong dari China seramai 262,070 telah menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM1.0039 bilion dari Januari hingga Julai lalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kekal harmoni dengan keunikan kepelbagaian – Jeffrey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular