HomeUtamaBandaraya Kota Kinabalu dicadang dijadikan sebagai Kota Literasi

Bandaraya Kota Kinabalu dicadang dijadikan sebagai Kota Literasi

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kota Kinabalu : Bandaraya Kota Kinabalu dicadang untuk dijadikan sebagai Kota Literasi kedua di rantau ini selepas Jakarta.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, bagi tujuan itu pihaknya kini dalam usaha bagi memohon pengiktirafan pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, pihaknya bersama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Kerajaan Negeri Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, serta pihak-pihak lain yang berkaitan akan bekerjasama bagi mencapai tujuan itu.

“Jika Kota Jakarta, boleh diisytiharkan dan diiktiraf oleh UNESCO, sebagai Kota Literasi, yang telah diumumkan melalui laman rasminya pada 8 November 2021 yang lalu, tidak mustahil pula, Bandaraya Kota Kinabalu, boleh turut diumumkan sebagai Kota Literasi yang baharu di rantau ini, selepas ini.

“Selain daripada program sedia ada yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, terutama sekali Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan DBP di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu ini, Saya yakin program yang seperti kita adakan pada malam ini, bakal berterusan, kerana ini akan menyokong usaha kita untuk mendapatkan pengiktirafan pihak UNESCO itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Baca Puisi Bandaraya Kota Kinabalu Dan Penutupan Festival Sastera Antarabangsa Malaysia Madani di sini.

Teks beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) DBKK Karim Rahim.

Sabin berkata, pihaknya juga berharap pihak perpustakaan dapat mengaktifkan kegiatan membaca di Bandaraya Kota Kinabalu bagi menyokong usaha mendapatkan pengiktirafan, pihak UNESCO.

Katanya, selain menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai pusat ekonomi yang penting, tumpuan pelancong dalam dan luar negara, pihaknya turut yakin dengan adanya program yang dianjurkan.

Tambahnya, ia akan menjadi nilai tambah dan memeriahkan lagi bandar raya yang indah ini.

“Jika menjadi kenyataan, pihak UNESCO mengiktiraf Bandaraya Kota Kinabalu kita, sebagai Kota Literasi yang baharu di rantau ini, maka sudah pasti ia dengan sendirinya, akan memperkenalkan lagi bandar raya kita yang indah ini, kepada dunia, dan secara tidak langsung, akan membantu industri pelancongan kita, terutama berkaitan dengan industri pelancongan ilmu.

“Produk kita yang berasaskan sastera dan budaya, akan lebih mudah dipasarkan, sebagai ‘Soft Power’ atau kuasa insaniah, yang merentas sempadan negara, yang lebih luas.

“Kerana sastera juga boleh menjadi kuasa diplomasi ‘Soft Power’ yang kini diperkatakan di kebanyakan negara maju, seperti Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan negara-negara lain seperti China, Jepun, Korea dan sebagainya,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

Festival Kompang Papar: Menyemarakkan Tradisi Tahun Baru

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular