HomeUtamaFestival Pantai Tanjung Aru platform artis, usahawan menyinar

Festival Pantai Tanjung Aru platform artis, usahawan menyinar

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu:  Festival Pantai Tanjung Aru merupakan platform terbaik untuk para artis dan usahawan tempatan menyinar bagi mempamerkan bakat, kreativiti dan daya tahan. 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata selain mempamerkan bakat luar biasa, penganjuran festival siri keempat itu turut menonjolkan keindahan dan kelestarian Pantai Tanjung Aru.

“Saya amat berbangga dengan artis, pemuzik dan penghibur tempatan kita yang berkumpul untuk mempamerkan bakat luar biasa mereka dalam persembahan secara langsung hari ini dan banyak lagi dalam persembahan Sabah Jazz, esok. 

“Mereka adalah nadi perayaan ini, memberi inspirasi kepada kami dengan kreativiti mereka dan mengingatkan kami tentang keindahan unik dalam komuniti.

“Di samping itu, sama ada mereka yang menjual kraftangan, menawarkan makanan tempatan yang lazat atau mempromosikan kesejahteraan dan kemampanan, usahawan tempatan mewakili masa depan Sabah dan membentuk landskap ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran festival itu di sini semalam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Christina berkata, penganjuran tersebut menjadi luar biasa apabila ia menggabungkan komitmen serta elemen seni, budaya, perniagaan dan komuniti. 

“Apa yang menjadikan perayaan ini benar-benar luar biasa ialah cara ia menggabungkan semua elemen ini iaitu seni, budaya, perniagaan dan komuniti. 

“Yang lebih membanggakan saya ialah komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kemampanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin festival berkenaan akan terus berkembang dan mampu menyamai festival-festival lain yang sudah diangkat ke peringkat antarabangsa seperti Rainforest Festival di Sarawak.

“Ini bukan berkaitan muzik semata-mata tetapi ruang kepada para peniaga kecil serta para pengusaha tempatan kita yang dari segi penyertaan meningkat setiap tahun.

“Kita lihat ada juga pelancong-pelancong yang hadir dan inilah yang kita inginkan kerana tujuan kita mengadakan festival ini bukan sahaja memperkenalkan Pantai Tanjung Aru sebagai tempat, riadah tempat pelancongan tetapi juga untuk memastikan lebih ramai pelancong dari luar mengenali keindahan yang ada di Kota Kinabalu.

“Jika kita lihat Rainforest Festival di Sarawak, ia bermula dengan skala kecil saja  bermula dengan 300, 500 hingga 1,000 orang sahaja tapi sekarang sudah dikenali di peringkat antarabangsa sehingga event itu dinanti-nantikan oleh para pengunjung,” katanya.

Antara yang menarik perhatian pengunjung ialah persembahan oleh murid-murid SK Sri Gaya, Tiruh Dance Troupe, pemain saxophone, Zaza serta ramai lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Amalan Kartel dan Monopoli wujud berleluasa dalam sektor pertanian negara?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular