HomeUtamaTiada pencerobohan kali kedua dan sifar KFR, jadi misi utama ESSCOM

Tiada pencerobohan kali kedua dan sifar KFR, jadi misi utama ESSCOM

Read Time:1 Minute, 33 Second

Lahad Datu :  Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) meletakkan misi tiada lagi pencerobohan kali kedua dan sifar penculikan atau ‘Kidnap For Ransom’ (KFR) sebagai dua misi utama ESSCOM.

Misi itu dinyatakan Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos kepada seluruh warga ESSCOM pada Majlis Perhimpunan ESSCOM sempena pelancaran logo dan bendera ESSCOM serta peta Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) yang baharu di sini.

Susulan itu, Victor berharap melalui penjenamaan ini akan menyemarakkan lagi semangat seluruh warga ESSCOM dalam merealisasikan dua misi utama seterusnya menjadikan ESS Zone sebagai tempat yang selamat dan sejahtera.

“Justifikasi penjenamaan ESSCOM dan ESS Zone ini penting bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di ESS Zone yang bertujuan untuk membangunkan sosioekonomi di pantai Timur Sabah.

“Justeru, saya dengan rendah hati memohon kerjasama penuh dan bantuan daripada  rakan-rakan media supaya membantu ESSCOM menguar-uarkan perkara ini dalam pemberitaan demi mencapai hasrat memajukan pantai Timur Sabah,” katanya 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali ketika berucap turut menyeru seluruh warga ESSCOM menghayati nilai dua akronim yang diperkenalkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar iaitu MERDEKA dan MALAYSIA dalam penugasan seharian.

Terdahulu penjenamaan logo dan bendera ESSCOM serta warna peta ESS Zone telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Sabah,  Datuk Seri Hajiji Noor pada 25 Julai  yang lalu. 

Pada majlis sama,turut diadakan pelancaran sistem e-Keanggotaan ESSCOM dan e-Demografi ESS Zone secara ‘in-house’ bertujuan memudahkan urusan kerja seharian warga ESSCOM.

Pewujudan sistem ini didasari oleh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan hasrat ESSCOM bukan sahaja untuk dikenali sebagai pusat keselamatan di pantai Timur Sabah tetapi juga sebagai pusat maklumat di ESS Zone.

Hadir sama Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular