HomeIsu tempatanUMS laksana pelbagai inisiatif mudahkan pelajar baharu mendaftar

UMS laksana pelbagai inisiatif mudahkan pelajar baharu mendaftar

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu memudahkan pelajar baharu khususnya yang kurang berkemampuan untuk mendaftar bagi sesi kemasukan 2024/2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini. 

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, inisiatif tersebut termasuklah kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah kewangan.

“Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat. 

“Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 3.0 juga diteruskan bagi membantu anak pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian di UMS,” katanya dalam satu kenyataan.

Kasim turut berkata, sepanjang proses persediaan sebelum sesi pendaftaran, pelbagai hebahan maklumat telah dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) bagi memastikan pelajar yang mempunyai masalah kewangan dapat menghubungi talian bantuan JHEP dengan segera.

“Sepanjang Minggu Suai Mesra Pelajar Baharu UMS yang bermula 30 September nanti dijalankan, pelajar akan didedahkan dengan maklumat berkaitan permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah, Biasiswa MARA, dan sebagainya. 

“Satu slot khusus bersama wakil dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga disediakan bagi memudahkan proses permohonan pelajar,” katanya. 

Justeru itu, beliau berpesan agar para pelajar baharu yang akan mendaftar ke UMS tidak perlu gusar memikirkan soal kewangan kerana pelbagai inisiatif telah disediakan untuk memudahkan urusan pendaftaran kelak.

“Kesemua inisiatif ini dilaksanakan sebagai menunjukkan kesungguhan pihak UMS yang mengutamakan kebajikan pelajar agar dapat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi  walaupun daripada pelbagai latar belakang ekonomi.

“Ini sekali gus menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar yang kurang berkemampuan serta menangguhkan yuran pendaftaran universiti bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar baharu ke universiti,” ujar beliau. 

UMS akan mula menerima kemasukan pelajar baharu pada dua hari sesi pendaftaran yang bermula 28 September ini di kampus induk Kota Kinabalu, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan dan akan mengadakan MSM selama seminggu bermula 30 September. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung di talian hotline HEP 088-320060. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dipelawa meriahkan Biz Market Madani 2024 esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular