HomeUtamaKerajaan iktiraf kesatuan sekerja menjaga hak kebajikan pekerja

Kerajaan iktiraf kesatuan sekerja menjaga hak kebajikan pekerja

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan mengiktiraf peranan Kesatuan sekerja dalam melindungi dan menjaga hak kebajikan pekerja di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Yusof berkata kesatuan sekerja merupakan wakil suara para pekerja menyampaikan hak.

“Kerajaan sentiasa mengiktiraf jasa serta sumbangan kesatuan sekerja yang bertindak sebagai barisan hadapan warga pekerja yang bersama-sama membantu kerajaan dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan perhubungan perusahaan di Malaysia sentiasa terpelihara.

“Kerajaan juga mengiktiraf kesatuan sekerja di Malaysia sebagai rakan sosial  kepada kerajaan untuk memastikan kebajikan serta hak-hak pekerja dipelihara dan dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Simposium Pergerakan Kesatuan Sekerja Peringkat Borneo Tahun 2024 di sini, semalam.

Azman berkata, ia terbukti dengan pemberian geran bantuan kewangan kepada kesatuan sekerja.

Katanya, bagi wilayah Borneo sahaja, lebih daripada RM550,000 telah selesai diagihkan kepada 59 kesatuan sekerja melalui geran di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) tahun 2024.

“Tahun hadapan, KESUMA memohon peruntukan yang lebih besar untuk kesatuan sekerja seluruh Malaysia dan ia merupakan mandat oleh kerajaan kepada fungsi dan peranan yang dimainkan oleh pihak kesatuan sekerja dalam mewakili suara golongan pekerja,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar kesatuan sekerja yang ada giat turun padang bagi menerangkan kepentingan hak para pekerja yang menyertai kesatuan.

“Semua kesatuan sekerja perlulah mengamalkan pendekatan Stronger Together bagi memastikan kepentingan ahli kesatuan sekerja terpelihara. semua anggota dalam kesatuan sekerja perlu bergerak ke arah tujuan yang sama dan memperkuat komitmen terhadap matlamat kesatuan sekerja.

“Jika dibandingkan dengan jumlah tenaga buruh di Malaysia iaitu sekitar 17.2 juta orang pada Julai 2024, jumlah pekerja yang menganggotai kesatuan sekerja di lihat masih kecil iaitu hanya sekitar 10 peratus, justeru kita harus sama-sama turun padang membuat kempen-kempen menerangkan bagaimana kesatuan boleh memainkan peranan untuk mewakili pekerja yang tidak berkesatuan ini agar menyertai kesatuan agar kebajikan mereka terjaga dan suara mereka didengari.

“Saya menyeru agar kita bersama-sama terus memperkukuh kesatuan sekerja masing-masing dengan mempelbagaikan promosi bagi mewar-warkan pentingnya peranan kesatuan sekerja untuk menarik minat pekerja-pekerja menganggotai kesatuan sekerja,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

GISBH : Semua premis berkaitan di Sabah, Sarawak tutup dan tidak...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular