HomeUtamaMajlis Tindakan Iklim Sabah ditubuh, tangani isu perubahan iklim

Majlis Tindakan Iklim Sabah ditubuh, tangani isu perubahan iklim

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan lklim Sabah (SCAC) yang bertindak dalam menetapkan hala tuju dan menyelaras projek-projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di peringkat negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah telah membuat pindaan ke atas Ordinan Tanah Sabah Bab  68, dengan memasukkan peruntukan perundangan berkaitan penyimpanan karbon yang mula berkuat kuasa pada 19 Jun 2023.

“Selain itu, Sabah juga baru sahaja menyelesaikan kajian inventori Greenhouse Gas (GHG) Sabah dan penilaian kerentanan untuk pembangunan Dasar Perubahan lklim Sabah ke arah pembangunan rendah karbon Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi Malaysia Bersama Kerajaan Negeri Sabah Mengenai Pelaksanaan Inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan Dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Malaysia di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G Datuk Kitingan.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Seri Rosli Isa.

Hajiji berkata, inisiatif CCUS juga selaras dengan iltizam Kerajaan  Negeri  dalam menangani isu perubahan iklim dan merealisasikan agenda teknologi hijau negara, serta sumbangan wilayah Sabah kepada komitmen negara merealisasikan ‘Nationally Determined Contributions (NDCs)’.

Katanya, Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa Draf Rang Undang-Undang (RUU) CCUS sedang digubal di peringkat Kerajaan Persekutuan dan percaya semua pihak berkepentingan termasuklah kementerian persekutuan, pemain-pemain industri dan kerajaan negeri dilibatkan dalam menyediakan RUU yang komprehensif.

Menurutnya lagi, terdapat sembilan mesej utama untuk diketengahkan dalam pelan komunikasi mengenai inisiatif CCUS di Malaysia, merangkumi aspek manfaat ekonomi, perlindungan alam sekitar, kesiapsiagaan dan teknikal.

Sementara itu, Hajiji berkata, inisiatif CCUS adalah selamat, diperlukan untuk membantu Malaysia mencapai Aspirasi Bersih Sifar pada tahun 2050.

Katanya, CCUS mengurangkan impak perubahan iklim, pengurusan risiko CCUS melalui penggubalan perundangan dan peraturan yang komprehensif dan pengawalseliaan aktiviti yang berkesan.

“CCUS membantu Sektor Hard-To-Abate Tempatan bagi menangani Pelepasan Gas Karbon Dioksida, mengurangkan kos penyahkarbonan bagi Sektor Hard-To-Abate Tempatan. Malaysia berpotensi menjadi Hab Serantau CCUS dan ia mendorong pertumbuhan CCUS meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia,”katanya.

Beliau berharap menerusi kerjasama daripada Kementerian Ekonomi untuk memastikan input daripada negeri  Sabah diambil kira bagi memastikan Sabah tidak tertinggal dalam inisiatif CCUS.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah yang berkaitan akan memberikan kerjasama sepenuhnya memberikan input yang diperlukan dalam pelaksanaan inisiatif CCUS. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar lelaki 14 tahun dikhuatiri lemas di tasik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular