KOTA KINABALU: Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon berusia 14 tahun ditemui lemas di tasik berhampiran Residensi Menggatal semasa menjalankan aktiviti mandi-manda bersama rakan-rakannya di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.44 tengah hari tadi (27 Sept).
“Komander Operasi melaporkan kejadian melibatkan dua orang mangsa lemas di dalam tasik semasa menjalankan aktiviti mandi manda bersama rakan-rakan yang lain seramai 20 orang merupakan pelajar dari SMK Tebobon.
“Seterusnya tindakan pasukan Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tepi dan permukaan tasik.
“Mangsa pertama dikenal pasti sebagai Adi Iskandar Abdullah, 14, berjaya diselamatkan dan diberikan bantuan CPR oleh rakan mangsa sehingga sedar.
“Manakala mangsa kedua dikenali sebagai Hazwi Danial A.Rashid, 14, telah dijumpai oleh pasukan Bomba di kedalaman 10 kaki pada jam 2.48 petang tadi dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh Pegawai Perubatan KKM pada jam 2.53 petang.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.12 petang.