HomeSukanAWCL : Lima pemain import bantu perkuat skuad bola sepak wanita Sabah...

AWCL : Lima pemain import bantu perkuat skuad bola sepak wanita Sabah FA

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Lima pemain import disasar untuk membantu menguatkan lagi skuad bola sepak wanita Sabah FA bagi menghadapi saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di China, bulan depan.

Ketua Jurulatihnya, Justin Ganai berkata, tiga daripada pemain import itu sebelum ini telah membantu Sabah pada aksi pusingan awal Kumpulan C AWCL di Stadium Likas pada Ogos lalu.

Katanya, tambahan dua lagi pemain import dari Jepun itu penting bagi menghadapi cabaran perlawanan AWCL yang dijangka sukar bagi pasukan baharu seperti Sabah FA.

“Bagi saya, semua pemain menjadi sandaran pasukan, cuma saja kita beruntung sebab kita mempunyai pemain import yang mengimbangi keseluruhan pasukan. Kalau tiada pemain import, kita memang ‘terkapai- kapai’. Kita tahu kualiti di sana.

“Seperti yang kita lihat dalam perlawanan kelayakan di Likas hari itu, Nepal dan Uzbekistan begitu mantap. Jadi di sana lebih mantap lagi, kita jangka lebih mantap daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan tajaan baju jersi daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak wanita Sabah FA di sini semalam.

Penyerahan tajaan itu diserahkan Pengerusi STB yang juga Pembantu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Hadir sama Pengurus Pasukan Bolasepak Wanita Sabah Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Sabah Mohd Arziz Afizy Rumsani.

Sabah FA diletakkan dalam Kumpulan A bersama pasukan Wuhan Jiangda (China); Incheon Hyundai Steel Red Angels WFC (Korea Selatan) dan dan Abu Dhabi Country Club (Emeriah Arab Bersatu)

Selain Eri Narita dan Misaki Nakayama dari Jepun selain Win Theingi Tun dari Myanmar, Sabah menambah lagi dua import dari Jepun iaitu Aoi Kizaki dan Saki Ueno.

Ketika ditanya mengenai persediaan Sabah FA, Justin berkata, persediaan pasukannya untuk menghadapi saingan AWCL dilihat amat suntuk.

“Kita baru juga selesai empat perlawanan di Semenanjung  di Liga Wanita Nasional (LWN). Berada di sana selama 12 hari. Kembali di sini dan kita cuma ada lima hari untuk latihan sebelum berlepas ke China pada 30 September ini.

“Jadi, itu merupakan persediaan yang sangat suntuk. Walau macamana pun, kita cuba yang terbaik menyusun strategi untuk dibawa ke China,” katanya. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Sukan

Para SUKMA : Sabah capai sasaran 59 pingat emas namun gagal...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular