Kota Kinabalu : Bangunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) yang dibina sejak 1972 terletak di Sembulan dibaik pulih untuk dimanfaatkan pembangunan dakwah, tarbiah dan perpaduan ummah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, baik pulih bangunan itu menelan kos perbelanjaan sebanyak lebih RM3 juta bagi fasa pertama.
“Bangunan USIA ini sangat bersejarah dalam konteks dakwah, siasah dan masyarakat keseluruhannya. Sudah pasti sejarah kita pertahankan dan fungsi bangunan ini insyaAllah akan lebih bagus.
“Ia juga akan lebih dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dakwah tarbiah dan perpaduan ummah. Dalam fasa pertama, dana diluluskan adalah RM3 juta untuk baik pulih, fasa kedua nanti akan dinilai selepas fasa pertama selesai. Ketua Menteri juga sudah komited untuk membantu bangunan yang bersejarah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Membaikpulih Bangunan USIA di Sembulan di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.
Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan USIA ada usaha yang diberikan terhadap pembangunan projek berkenaan.
Dalam pada itu, Sapawi berkata, pihaknya masih mengekalkan keaslian bangunan berkenaan berdasarkan sejarah selain struktur bangunan yang masih dikategorikan selamat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
“JKR telah memberi keyakinan kepada kita bahawa bangunan ini masih kukuh dan teguh. Pelaksanaan bangunan ini kita gunakan konsultan yang memang akan menjadi pemandu kepada seluruh usaha baik pulih.
“Apabila siap nanti kita bercadang untuk beralih operasi ke sini daripada pejabat di One Borneo dan banyak juga agensi yang mempelawa untuk menyewa di tingkat satu dan dua bangunan ini nanti,” katanya. – SABAH MEDIA