Oleh ERDIE AB WAHID
Putatan : Pasukan bola sepak wanita Sabah FA yang akan beraksi pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di China, bulan depan diharap mampu mempamerkan prestasi yang baik.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya turut berharap pasukan yang mewakili negara itu akan dapat berada dalam lapan terbaik diperingkat kumpulan.
“Pasukan bola sepak wanita Sabah FA kita telah pun berjaya melayakkan diri bagi mengikuti pertandingan di peringkat AFC dan akan berlepas di China pada hujung bulan ini.
“Sudah pasti kita mengharapkan mereka boleh mempamerkan prestasi yang baik dan kalau boleh kita menjadi lapan terbaik diperingkat kumpulan. Sama-sama kita doakan agar prestasi mereka berada dalam prestasi yang lebih baik lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Riang Ria Merdeka di Perpustakaan Desa Ulu Putatan di sini hari ini.
Pasukan bola sepak wanita Sabah FA dijangka akan berlepas ke China esok bagi menghadapi saingan AWCL yang bermula 3 Oktober ini
Sabah FA diletakkan dalam Kumpulan A bersama pasukan Wuhan Jiangda (China); Incheon Hyundai Steel Red Angels WFC (Korea Selatan) dan dan Abu Dhabi Country Club (Emeriah Arab Bersatu).
Pasukan kendalian Justin Ganai itu turut diperkuat dengan lima pemain import antaranya Eri Narita; Misaki Nakayama; Aoi Kizaki dan Saki Ueno dari Jepun serta Win Theingi Tun dari Myanmar. – SABAH MEDIA