KOTA KINABALU: Lima mangsa perempuan termasuk empat kanak-kanak dan seorang remaja rentung dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah setinggan di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas di sini tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 12.47 tengah hari tadi (30 Sept).
“Sejurus menerima panggilan kecemasan itu, pasukan bomba bergegas k ke lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus termasuk sebuah stor dan satu kedai runcit.
“Dua buah kenderaan turut terbakar 100 peratus dalam.kejadian itu.
“Namun pasukan mendapati lima orang mangsa termasuk empat kanak-kanak dan seorang remaja dilaporkan rentung,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Menurutnya, mangsa-mangsa yang rentung terdiri daripada dua buah keluarga iaitu dua beradik berusia tiga dan 14 tahun manakala tiga beradik berusia satu, tiga dan empat tahun.
Katanya, operasi pemadaman terkawal pada jam 1.29 petang dan pasukan bomba masih lagi memadam bara-bara api dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan mangsa yang terlibat.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujarnya.