HomeUtamaOrang ramai dijemput hadir Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Yang di-Pertua...

Orang ramai dijemput hadir Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah

Read Time:2 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 89 kontinjen akan terlibat dalam acara istiadat perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di sini pada Sabtu ini (5 Okt).

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah berkata, penyertaan tersebut adalah daripada jabatan kerajaan, pihak swasta, persatuan-persatuan, pelajar institut pengajian tinggi dan juga pelajar sekolah.

“Saya amat berterima kasih dan berasa bangga dengan penglibatan semua. Ini menunjukkan semangat patriotik yang ada terhadap pemimpin kita, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya sidang media khas yang diadakan sempena sambutan tersebut di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, Jalan Lintas, Kapayan, di sini, hari ini.

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, persiapan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah telah mula dibuat sejak awal bulan Mei 2024 lagi.

Bagi memastikan perjalanan acara Istiadat Perbarisan pada Sabtu ini, beliau berkata, tiga siri raptai akan diadakan bersama semua yang terlibat. Raptai akan bermula pada 1 Oktober 2024 nanti. Acara ini di bawah seliaan Jawatankuasa Pelaksana Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Saya difahamkan persiapan di daerah-daerah turut dibuat di mana billboard telah dinaikkan seawal bulan September iaitu selepas Sambutan Hari Malaysia. Ucapan terima kasih kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan yang telah menaikkan billboard sebagai tanda meraihkan Sambutan Ulang Tahun Kelahriran Rasmi Yang Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri di daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 12 acara dirancang pelaksanaan oleh Jawatankuasa Pelaksana.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bertungkus lumus memastikan setiap acara dirancang dengan rapi dan mendoakan kelancaran perjalanan semua acara ini nanti.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, saya ingin menjemput semua lapisan masyarakat untuk turun bersama-sama memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Kelahriran Rasmi Yang Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang dI-Pertua Negeri.

“Marilah kita semua hadir beramai-ramai sambil menyaksikan program yang telah disusun semasa acara itu nanti. Acara akan bermula seawal 6.30 pagi di Padang Merdeka, Kota Kinabalu,” katanya.

Dr. Joachim menyeru kepada seluruh rakyat Sabah agar sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Yang Berbahagia Toh Puan, serta seisi keluarga, agar mereka sentiasa dilindungi dan diberkati.

“Kita sebagai rakyat Sabah seharusnya bersyukur kerana berpeluang bernaung di bawah kepimpinan seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa atau agama. Kepimpinan yang bijaksana serta keprihatinan yang ditunjukkan oleh Tuan Yang Terutama Tun merupakan teladan yang dihormati dan diikuti oleh seluruh lapisan masyarakat di Sabah,” katanya.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengarah Jabatan Penerangan Sabah (JaPen), Jainisah Mohd Noor; Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah (RTM Sabah), Salmah Hashim serta para pegawai KKTP, RTM dan JaPen.

RELATED ARTICLES
Utama

Keputusan peperiksaan Rafida cemerlang, layak mohon BKNS – Azrul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular