HomeUtamaPembinaan jalan masuk ke HUMS bantu tingkat aksesibiliti rakyat kepada fasiliti kesihatan

Pembinaan jalan masuk ke HUMS bantu tingkat aksesibiliti rakyat kepada fasiliti kesihatan

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Pembinaan jalan masuk utama ke Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) sejauh 1.5 kilometer (KM) berupaya menambah baik dan meningkatkan aksesibiliti rakyat kepada fasiliti Kesihatan yang disediakan oleh Hospital Pengajar UMS.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, jalan yang dibina bagi menghubungkan hospital itu juga pastinya dapat memudahkan serta mengurangkan kesesakan aliran trafik jalan dalaman UMS selain menjimatkan masa perjalanan ke HUMS. 

“Kita pada petang ini boleh dikatakan bertuahlah kerana satu lagi projek yang telah siap dengan sempurna dalam masa yang ditetapkan.  

“Jadi saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak kontraktor dan semua agensi jabatan yang berkaitan yang telah dengan jayanya menyiapkan projek ini, yang memanfaatkan pelbagai pengguna jalan raya dan juga HUMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jalan Masuk Utama Ke Hospital Pengajar UMS di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Alexander berkata, jalan itu juga dapat berupaya memberi manfaat kepada penduduk dan masyarakat setempat apabila HUMS siap dibina dan dapat berfungsi sepenuhnya menjelang tahun 2026. 

Katanya, projek itu telah dimulakan pada 15 Mac 2021 dengan kos kontrak bernilai RM 18.94 juta dan direkabentuk sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia manakala Pegawai Penguasa projek adalah JKR Sabah yant dikendalikan kontraktor pelaksana Kini Progresif Sdn Bhd. 

“Projek ini telah disiapkan dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 01 Julai 2024. Berbagai cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan projek ini terutama wabak Pandemik Covid19 dan pelaksanaan PKP yang menghambat penggunaan sumber manusia dan pergerakan jentera serta bahan binaan. 

“Lokasi tapak projek juga menjadi cabaran dalam pelaksanaan projek ini kerana terdapat pelbagai agensi utiliti yang terlibat seperti Sabah Electricity Sdn Bhd, Telekom Malaysia, Jabatan Air Negeri Sabah dan utiliti dalaman UMS.  Hal ini secara tidak langsung turut memberi kesan kepada tempoh penyiapan projek,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, penyiapan jalan itu juga merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan semua pihak.

“Dengan komitmen semua terutama pihak pengurusan tertinggi, pasukan projek JKR, pihak UMS, kesungguhan pihak kontraktor, serta kerjasama erat yang turut diberikan oleh semua jabatan, agensi yang terlibat dan tidak ketinggalan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan projek ini dapat disiapkan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KKR MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular