HomeIsu tempatanProgram Rakan BORNEENSIS 2024 pupuk kelestarian alam semula jadi

Program Rakan BORNEENSIS 2024 pupuk kelestarian alam semula jadi

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Program Rakan BORNEENSIS 2024 anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini merupakan usaha berterusan institut tersebut dalam memupuk usaha kelestarian alam sekitar khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pengarah IBTP, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata, program ini merupakan salah satu daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) tahunan untuk Sektor BORNEENSIS di IBTP, yang mencerminkan komitmen berterusan untuk menyebarkan pengetahuan mengenai pemuliharaan biodiversiti kepada generasi muda di Sabah.

“Program ini antara lain bertujuan untuk memupuk kesedaran dan kefahaman tentang kekayaan alam semula jadi serta peranan setiap individu dalam pemeliharaan warisan biodiversiti yang unik.

“Ini adalah juga bagi memberi pendedahan kepada para pelajar di Sabah tentang agenda global pembangunan lestari dalam kehidupan seharian,” katanya dalam ucapan sempena perasmian program tersebut.

Beliau turut memaklumkan, program yang berlangsung selama tiga hari itu telah berjaya menghimpunkan peserta seramai 13 orang dari Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya.

“Menerusi program ini, peserta akan didedahkan tentang kepentingan memelihara alam semula jadi di samping menambah pengetahuan tentang kepelbagaian flora dan fauna di Sabah.

“Program ini menggalakkan para peserta untuk menghargai khazanah alam semula jadi Borneo dan memikul tanggungjawab terhadap kelestarian ekosistem tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Program, Petherine Jimbau, berharap program ini dapat menanamkan semangat cintakan alam sekitar dalam diri peserta muda, serta dapat membina generasi yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan terhadap cabaran perubahan alam sekitar.

“Ini adalah peluang penting untuk membangunkan pemimpin muda yang memahami nilai warisan semula jadi dan menyumbang kepada pemeliharaannya,” katanya.

Pelbagai aktiviti pembelajaran dijalankan sepanjang program tersebut antaranya  Night Walk, Bird Watching, Nature Explorace & Survival Skills, Mini Project dan Malam Kebudayaan.

Turut diadakan sesi perkongsian ilmu bersama para pakar dari IBTP dengan tajuk-tajuk perkongsian seperti Nocturnal Animals, Mushroom Foray, Youths in Building a Sustainable Society for the World, dan Diagnostic and Prognostic Sustainability Action Planning.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular