HomeUtamaWanita GRS telah kemuka senarai nama calon kepada Pengerusi GRS

Wanita GRS telah kemuka senarai nama calon kepada Pengerusi GRS

Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun memaklumkan sudah mengemukakan senarai nama calon wanita yang berkelayakan kepada pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Gerak Kerja Wanita Gabungan Rakyat Sabah di sini, hari ini.

Azizah berkata, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) belum lagi dibubarkan Wanita GRS sudah mengemukakan senarai nama calon sebagai persediaan awal.

“Kami juga sudah mengemukakan nama-nama kepada Yang Amat Berhormat pengerusi kita, walaupun belum lagi bubar jadi kita sudah awal-awal mengemukakan.

“Tapi kita mahu pastikan juga apabila kita mengambil calon itu, yang paling utama beliau mestilah mempunyai potensi untuk menang dan juga mempunyai kelayakan yang baik, membawa suara dari Wanita, kawasan dan juga kalau di Parlimen membawa suara negeri Sabah, dengan berani, ada keyakinan. Beliau mesti mempunyai kebolehan itu dan saya yakin di kalangan kami ini ada,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan setakat ini jumlah ahli Wanita GRS hampir mencecah 18 ribu keahlian.

Katanya, Wanita GRS seluruh negeri sudahpun membuat persediaan dengan menggerakkan jentera masing-masing untuk menghadapi PRN17 ini.

“Kita sebenarnya sudah mengadakan jelajah kita bermula pada Julai tahun lalu dan awal tahun ini gerakan- gerakan telah dijalankan.

“Kita telah pun melantik jentera-jentera kita di semua kawasan DUN di seluruh negeri Sabah ini. Kita sekarang ada hampir 18 ribu jentera Wanita di seluruh negeri.

“Mereka ini yang akan menjadi duta kepada Wanita GRS untuk bergerak di peringkat akar umbi dan mereka sebenarnya pun sudah mula bergerak dan nampaklah kalau dulu tidak mengenal antara satu sama lain kerana parti yang berbeza tapi sekarang sudahpun ada kemesraan yang begitu cantik sekali.

“Itulah sebenarnya semula jadi Wanita ini ia berkasih sayang antara satu sama lain dan bila ada timbul kasih sayang itu ia akan bergerak dengan lebih baik lebih mudah dan itulah sesuatu yang istimewa kita daripada Sabah ini, walaupun kita di Sabah banyak etnik dan agama tetapi kita boleh kebekerjasama dengan lebih baik. Keistimewaan itu kita kena jaga,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Azizah juga tidak menafikan jika ada calon muda di kalangan Wanita GRS yang berkelayakan untuk bertanding pada PRN17 ini.

“Kami juga mengalu-alukan jika ada calon Wanita muda yang berkebolehan dan betul-betul minat dalam politik ini kenapa tidak, tetapi yang penting kawasan itu boleh menang.

“Saya tidak mahu letak calon seperti melepaskan batuk di tangga atau hanya mengisi kekosongan tapi sebaik-baiknya kawasan yang boleh menang.

“Saya yakin kawasan boleh menang ini memang ada Wanita kita, tapi saya minta yang ada ini kita pertahankan dan kita tambah,” jelasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Premier Sarawak dikurniakan darjah ‘Seri Panglima Darjah Kinabalu’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular