HomePolitikCalon GRS boleh menang diketengahkan untuk bertanding dalam PRN17 Sabah - Hajiji

Calon GRS boleh menang diketengahkan untuk bertanding dalam PRN17 Sabah – Hajiji

Read Time:2 Minute, 8 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pemilihan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang selain berkebolehan dalam berpolitik, ia juga berdasarkan calon yang boleh menang, kata Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Taklimat Gerak Kerja Wanita Gabungan Rakyat Sabah di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, mengetengahkan calon boleh menang ini adalah penting untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat dalam pilihan raya itu nanti.

“Dalam pilihan raya, kita akan mengetengahkan calon yang boleh menang. Ini amat penting kita tidak kira daripada parti mana asalkan kita dapat laporan dan kita fikirkan bahawa calon itu adalah yang terbaik untuk kita ketengahkan dan boleh menang kerana kita yakin kita akan mendapat kepercayaan sekali lagi daripada rakyat dalam pilihan raya,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Wanita GRS juga akan diberi ruang untuk bertanding di dalam PRN17 ini.

Namun demikian, Hajiji berkata pemilihan calon hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Tertinggi GRS yang akan diadakan pada hujung November ini.

Ini adalah susulan laporan berita yang dikeluarkan semalam mengenai Wanita GRS yang diketuai Datuk Seri Azizah Dun telah mengemukakan senarai nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang ini kepada Pengerusi GRS.

“Kita akan bawa perkara ini dalam Mesyuarat Tertinggi GRS yang akan kita adakan tidak berapa lama lagi.

“Saya tidak boleh membuat keputusan seorang diri, kita kena berbincang dengan kawan-kawan kita di dalam GRS, bagaimana kita menghadapi pilihan raya yang akan datang termasuklah memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin wanita kita untuk bertanding di dalam pilihan raya,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai taklimat tersebut, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, beliau mendapati gerakan jentera kerja Wanita GRS berjalan dengan baik.

“Saya dapati bahawa gerakan ataupun jentera kerja Wanita GRS boleh dikatakan cukup berjalan dengan baik di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

“Apa yang saya tekankan tadi bahawa Gabungan Rakyat Sabah mesti satu hati, satu gerak kerja untuk menghadapi pilihan rakyat umum yang akan datang,” tegasnya.

Ditanya mengenai persediaan menghadapi PRN, beliau menjelaskan bahawa GRS sudah bersedia kerana PRN boleh berlaku bila-bila masa dalam tempoh satu tahun ini, namun pada masa ini pihak kerajaan perlu memberi tumpuan kepada perkara-perkara untuk menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu.

“Sebenarnya, kita sudah bersedia tetapi kita ada masa lagi satu tahun, jadi banyak lagi perkara-perkara yang kita bagi tumpuan untuk kita selesaikan seperti masalah-masalah rakyat dan sebagainya tetapi, ini bukan bererti bahawa kita tidak boleh mengadakan pilihan raya, jadi tempoh satu tahun ini boleh berlaku jika sekiranya kita mahu mengadakan pilihan raya,” kata Hajiji.

RELATED ARTICLES
Utama

Belanjawan 2025: Beri peruntukan banyak kepada Sabah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular