Kota Kinabalu : Penyanyi tempatan Sabah, Azharina Azhar dan ‘Jamal Abdillah’ Semporna meriahkan Majlis Jamuan Negeri, di sini Sabtu lalu.
Azharina yang mengenakan busana serba hijau menghiburkan tetamu dengan empat buah lagu iaitu masing-masing nyanyian asal Ernie Zakri, Elegi Sepi dan dua buah lagu Inggeris bertajuk When You Tell Me That You Love me dan I Wanna Dance With Somebody.
Manakala, Jamal Abdillah Semporna atau nama sebenarnya Harun Abdul Lajim memukau tetamu dengan dua buah lagu iaitu ‘Seniman Menangis’ dan ‘Aku Penghiburmu’.
Majlis sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah itu dimulakan selepas ketibaan masuk Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah.
Tirai persembahan majlis dimulakan dengan persembahan daripada Setiausaha Perhubungan kepada TYT, Datuk Rashid Mohd Tahir yang menyampaikan dua buat lagu bertajuk ‘Buat Yang Tercinta’ dan ‘Gemala Hati’ dengan iringan Band Irama Simfoni Kinabalu.
Selain itu, tetamu juga dihiburkan dengan penampilan khas anakanda Tun Juhar, Datin Al Hanna Surya membawakan lagu Menghitung Hari yang dipopularkan oleh Kris Dayanti dan medley lagu ‘Aku Cinta Padamu’ dan ‘Can’t Take My Eyes Of You’.
Turut menghiburkan tetamu ialah barisan artis-artis tempatan antaranya Izza Zura, Sumarli Loli, Yico Wong, Rey Guntabid, Rosario Bianis, Mohd Rozaimi dan Donald Guntabid.
Antara acara lain adalah Upacara Minum Hormat yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor disusuli dengan upacara memotong kek oleh Tun Juhar.
Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim Yahya serta jemaah Kabinet Negeri Sabah dan para jemputan.