Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia mahu projek infrastruktur bernilai hampir RM40 bilion di Sabah dilaksanakan dengan sebaik mungkin untuk memberi manfaat rakyat di Sabah.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia termasuklah projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dan projek pembangunan infrastruktur asas lain di negeri ini.
Katanya, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
“Sebagaimana saya sebut tadi agar semua projek-projek yang dilaksanakan iaitu 200 projek untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); 41 untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); 200 untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan 47 projek untuk KKR berjumlah RM13 bilion di Sabah dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Saya juga memaklumkan bahawa kita ada ada pakej 1A dan pakej 1B untuk LPB, jumlahnya adalah RM26.6 bilion, jadi jumlah keseluruhan, ianya hampir RM40 bilion projek yang dikendalikan oleh KKR, Kementerian Kewangan dan JKR Sabah untuk manfaat rakyat negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke JKR Sabah di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JKR Sabah Datuk Philemon Lajawai.
Dalam pada itu, Ahmad sekali lagi mengulangi peringatan agar kesilapan, kelewatan serta masalah yang dihadapi dalam pembinaan LPB Pakej 1A tidak diulangi pada pelaksaan Pakej 1B.
“Saya juga diberikan taklimat mengenai LPB Sabah dan saya memberikan pandangan agar yang mana dapat Pakej 1B belajar daripada Pakej 1A dan tidak mengulangi kesilapan, kelewatan, masalah yang dihadapi oleh Pakej 1A.
“Dan saya juga dimaklumkan bahawa JKR Sabah yang melaksanakan sektor Pan Borneo ini telah diundang ke Sarawak oleh JKR Sarawak untuk belajar Pan Borneo Sarawak dan mereka begitu terbuka, menasihati dan berkongsi pengalaman 99 peratus siap Pan Borneo Sarawak supaya sektor Pan Borneo Sabah boleh belajar dan tidak mengulangi perkara-perkara yang boleh diperbaiki dalam Pakej Pan Borneo Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA