HomeUtamaLebih 180 NGO Wanita berdaftar di bawah JHEWA Sabah

Lebih 180 NGO Wanita berdaftar di bawah JHEWA Sabah

Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Setakat ini, lebih daripada 180 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah, data ini menunjukkan peningkatan pendaftaran NGO yang sangat ketara, kata Pengarah JHEWA, Haslina Ismail.

Menurutnya, pada tahun ini, penyerahan geran kepada 32 NGO yang berdaftar di bawah JHEWA merupakan bukti keterlibatan NGO Wanita dari pelbagai daerah yang menjadi penggerak dalam masyarakat bersama-sama dengan JHEWA.

“Setiap tahun kerajaan negeri memberi peruntukan kepada wanita melalui JHEWA.

“Pada tahun ini juga kita memberi fokus kepada pemberian geran berkaitan isu gender, keganasan rumah tangga dan kesihatan mental. hal ini memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat khususnya wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada Majlis JHEWA “Synergy Night” yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam tadi (7 Okt).

Majlis JHEWA “synergy night” dianjurkan adalah untuk mempertemukan ataupun menghimpunkan para tetamu yang terdiri daripada NGO wanita, rakan media dan rakan sinergi JHEWA bersama- sama untuk membina jaringan kerjasama.

Mengulas lanjut mengenai Hala Tuju JHEWA 2025, Haslina berkata, JHEWA komited terutamanya dalam tanggungjawab memperkasakan wanita sebagai agen perubahan dalam mencapai Sustainable Development Goals (SDG).

“Dalam agenda 2030, kesetaraan gender merupakan salah satu matlamat utama, SDG menekankan pentingnya memastikan penyertaan penuh dan berkesan wanita dalam kepimpinan, serta menghapuskan semua bentuk diskriminasi dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

“Ini bukan hanya satu tanggungjawab moral, tetapi juga satu keperluan untuk mencapai pembangunan yang mampan dan inklusif,” jelasnya.

Tambah beliau, wanita mempunyai potensi yang luar biasa untuk membawa perubahan dari segi ekonomi, wanita yang berdaya saing dan berpendidikan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh.

Manakala dalam aspek sosial, Haslina berkata, wanita sering menjadi pemimpin dalam komuniti, berperanan dalam pendidikan dan kesihatan golongan wanita.

“Justeru, golongan wanita merupakan satu aset negara yang berharga kerana mampu menjadi pengerak perubahan dalam masyarakat dan pembangunan ekonomi negara dan negeri khususnya,” ujarnya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng berkata, pihak kementerian sentiasa menyokong penuh usaha dan inisiatif Hala Tuju JHEWA dalam membangun dan memperkasa wanita Sabah.

Menurutnya, NGO merupakan medium penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, justeru, pada 23 Ogos 2024 sempena Majlis Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah yang lalu melalui ucapan Ketua Menteri Sabah dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmy Yahya menyatakan pada tahun hadapan sebanyak RM 1.5 juta peruntukan diberikan kepada rakyat untuk memperkasakan golongan wanita melalui geran kepada NGO.

“Hal ini amat mengembirakan saya kerana dengan adanya peruntukan ini dapat memberi impak yang lebih besar dan turut sama bekerjasama menyumbangkan pelaksanaan program berkaitan wanita,” katanya semasa berucap seterusnya merasmikan majlis tersebut.

Pada majlis sama, turut dilancarkan lagu rasmi JHEWA.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular