Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Pengguna jalan raya khususnya di negeri ini diminta untuk memuat turun aplikasi MYJalan KKR yang dibangunkan Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia adalah bagi menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat mengenai kerosakan jalan raya supaya dapat dibaik pulih dalam tempoh segera.
“Aplikasi MyJalan boleh di ‘download’ untuk semua telefon pintar. Aplikasi ini mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai sama ada di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri, sama ada jalan kampung, semua kita ambil.
“Saya harap di negeri Sabah tolong war-warkan, tolong hebahkan kewujudan aplikasi My Jalan di bawah KKR dan kalau kita download, kita boleh masukkan segalanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah di sini semalam.
Ahmad berkata, menerusi aplikasi itu, sebarang permasalahan termasuk kerosakan akan diselesaikan dalam tempoh masa 24 jam.
“Ada saja lubang di mana-mana pun jalan persekutuan sama ada di Semenanjung, sama ada di Sabah, sama ada di Sarawak, kita janji lubang itu ditutup tidak melebihi 24 jam.
“Sebagai contoh, semua kita monitor daripada aplikasipl My Jalan termasuklah lebuh raya. Kita tidak mahu berlaku semacam ada satu jalan di Sabah ini, jalan berlubang lepas itu dia tanam pokok pisang di atas jalan itu,” katanya.
Aplikasi mobil itu ialah platform aduan setempat bagi memudahkan pengguna membuat aduan yang mana semua jenis aduan jalan diterima walaupun bukan di bawah penyelenggaraan KKR.
Aplikasi MYJalan KKR itu boleh dimuat turun pengguna Apple menerusi App Store atau Google Play untuk pengguna Andorid. – SABAH MEDIA