HomeUtamaG57 sambut baik kenyataan Zahid agar pimpinan & ahli UMNO tidak usik...

G57 sambut baik kenyataan Zahid agar pimpinan & ahli UMNO tidak usik rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyambut baik kenyataan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar pimpinan UMNO dan ahli-ahli nya agar tidak ‘mengusik’ dan menimbulkan ‘provokasi’ terhadap rakan-rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan sehingga menimbulkan masalah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga menegaskan, hubungan dan situasi perpaduan semasa dalam kerajaan perlu dikekalkan dengan sikap hormat-menghormati.

Sehubungan dengan itu,
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar meminta Bung Moktar serta pimpinan UMNO menyokong beliau supaya menghentikan provokosi terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi memberi laluan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

“Merujuk kepada situasi politik di Sabah ketika ini Bung Moktar termasuk pimpinan UMNO yang menyokong kepemimpinan Bung sepatutnya menjadikan nasihat Zahid ini sebagai satu iktibar untuk menghentikan provokasi terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sehingga mengganggu kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, Zulkarnain berkata, Zahid juga disarankan untuk menarik balik perlantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di seluruh Sabah kerana ianya jelas melanggar peruntukan undang-undang negeri.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebelum ini telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

“Pindaan itu kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti JKKK di Sabah.

“Ini bermakna penubuhan JPKKP di Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) adalah jelas bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Menurut Zulkarnain, Pakatan Harapan (PH) Sabah termasuk wakil rakyat GRS sebelum ini senada turut membantah penubuhannya sebaliknya Bung berkeras malahan telah menyerahkan surat perlantikan kepada wakil JPKKP di setiap daerah di Sabah.

“Tindakan ini jelas akan mengundang ketidakstabilan politik di peringkat akar umbi malahan dikhuatiri boleh menyebabkan pergaduhan kerana sudah pasti akan berlaku pertindihan kerja di peringkat kampung.

“Justeru, untuk merealisasikan harapan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan Zahid Hamidi disarankan menasihati Bung dan seluruh kepimpinan UMNO yang menyokong kepimpinan Bung untuk menghentikan melakukan provokasi terhadap kepimpinan Hajiji demi kestabilan politik di Sabah memandangkan GRS dan PH juga adalah sebahagian dari Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” tegasnya lagi.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

Parti STAR yakin 100% guna logo GRS pada PRN17 – Dr...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular