HomeUtamaMasyarakat Diminta Siap Siaga Hadapi Banjir

Masyarakat Diminta Siap Siaga Hadapi Banjir

Read Time:1 Minute, 33 Second

PUTRAJAYA — Masyarakat diminta berwaspada dan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka lebih awal iaitu minggu keempat bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata MTL lazimnya berlaku pada awal November namun tahun ini dijangka awal susulan perubahan cuaca.

“Perubahan cuaca dan ramalan (MTL) datang lebih awal (iaitu) minggu keempat Oktober. Maka kesiapsiagaan harus dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Konvensyen Rakan NADMA ‘Malaysia MADANI, Siaga Bencana’, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Jabatan Pengairan Dan Saliran telah mengenal pasti kawasan berisiko khususnya banjir termenung dan mobilisasi melalui kerjasama jawatankuasa bencana negeri dan daerah perlu dilaksanakan.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan memberi amaran  lima hari sebelum berlaku banjir di kawasan yang mengalami hujan melampau dan air pasang bagi mengurangkan risiko bencana.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kekuatan jentera dan anggota penguat kuasa adalah mencukupi memandangkan gerakan akan dilakukan bersama antara agensi penguat kuasa dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata gerakan yang akan dilakukan adalah secara berstruktur tanpa meminggirkan mana-mana negeri dan kawasan.

Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan Pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 yang dibangunkan untuk menjadi dokumen rujukan pelbagai pihak berkepentingan bagi merancang, melaksana dan memantau program program memberi impak positif kepada golongan rentan, sekali gus memajukan dunia kesukarelaan dan melonjakkan peranan sektor kemanusiaan.

Pelan itu telah menggariskan tiga kumpulan kerja Rakan NADMA yang boleh digunakan sebagai panduan supaya dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih relevan dan berkesan.

Kumpulan kerja itu adalah Jawatankuasa Pembangunan Kepakaran, Pembangunan Komuniti dan Penyelarasan Operasi dan Koordinasi.

Ahmad Zahid berkata pewujudan Pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 itu dapat menyelesaikan isu-isu membabitkan polisi dan garis panduan untuk rujukan NGO, penyelarasan komunikasi dan kawalan keselamatanlebih berkesan serta perkongsian teknologi dan kepakaran.

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular