Kota Kinabalu : Seramai lebih 80 peserta terdiri daripada ahli Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Lembaga Koko Malaysia (KKSR LKM) berjaya menganjurkan ‘Cocoa Beach Walk’ sejauh lima kilometer di Pantai Tanjung Aru di sini semalam.
LKM dalam satu kenyataan berkata, program yang diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 itu adalah bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan ahli KKSR melalui aktiviti berjalan kaki di pesisir pantai.
“Selain mempromosikan gaya hidup aktif, program ini turut dilaksanakan sebagai aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat CSR yang melibatkan pemungutan sampah di sepanjang laluan pantai.
“Langkah ini diambil sebagai usaha menjaga kelestarian alam sekitar sambil merangsang kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam semula jadi,” menurut kenyataan itu di sini.
Dalam pada itu, program turut diisi dengan sesi Zumba selain beberapa acara lain yang menjadi platform bagi mengeratkan silaturahim serta perpaduan di antara ahli KKSR.
Hadir sama memeriahkan acara Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maznah Abdul; Pengarah Pemindahan Teknologi dan Pengembangan merangkap Presiden KKSR, Abdul Karim Che Hamid, serta Pengarah Pengawalseliaan dan Kawalan Kualiti, LKM Shahrir Azmie Saidon.
“Pihak KKSR LKM turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAEDSB) atas sokongan yang diberikan, termasuk kemudahan kawasan rekreasi dan tempat letak kereta secara percuma.
“Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atas kerjasama yang membolehkan program ini dijalankan dengan lancar,” menurut kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA