HomeIsu tempatanOctober BIG Day usaha pupuk minat aktiviti memerhati burung

October BIG Day usaha pupuk minat aktiviti memerhati burung

Read Time:2 Minute, 14 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Persatuan Pemerhati Burung Sabah (SBWA) telah menganjurkan program October BIG Day sebagai usaha memupuk minat pelajar universiti khususnya terhadap aktiviti memerhati burung.

Presiden SBWA, Ron Pudin berkata, October BIG Day yang dianjur setiap minggu kedua bulan Oktober di seluruh dunia akan menyaksikan para pemerhati burung seluruh dunia akan merekodkan spesies burung-burung yang ditemui menggunakan aplikasi eBird dalam tempoh 24 jam.

“Pada hari ini, UMS bersama-sama SBWA dengan kerjasama Institute for Development Studies Sabah (IDS) dan Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran mengadakan aktiviti memerhati burung di sekitar Pantai ODEC UMS dan kawasan hutan UMS Health Ecotourism and Hiking Trail.

“Aktiviti ini penting kerana memerhati burung juga menyumbang kepada usaha pemuliharaan hutan, iaitu melalui kehadiran burung-burung dapat menentukan hutan tersebut dalam keadaan sihat dan mempunyai sumber biodiversiti yang mampu menampung habitat burung,” katanya ketika ditemui media sempena program tersebut.

Tambah beliau, program ini juga sekali gus mampu meningkatkan pengenalan terhadap spesies burung, khususnya burung tempatan yang terdapat di Sabah.

“Justeru, adalah harapan kami agar menerusi program ini, para peserta akan terus memupuk minat untuk memerhati dan merekodkan spesies burung melalui aplikasi yang disediakan.

“Ini kerana selain memainkan peranan sebagai saintis masyarakat, usaha merekodkan kehadiran burung di kawasan-kawasan tertentu di Sabah mampu menarik minat dan menggalakkan pelancong dan peminat burung dari luar negara untuk datang ke Sabah dan memerhatikan kepelbagaian burung yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, UMS melalui Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo (BTRC) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) dalam satu kenyataan memaklumkan, October BIG Day merupakan salah satu aktiviti yang dijalinkan hasil daripada pemeteraian kerjasama bersama SBWA pada September lalu.

“Idea untuk mengadakan program ini buat pertama kali diusulkan dalam program Winged Wonders anjuran Shangri-La Rasa Ria dengan kerjasama BTRC dan SBWA.

“UMS menyambut baik cadangan tersebut dengan melihat manfaatnya terhadap usaha memupuk pemuliharaan hutan serta memperkenalkan aktiviti tersebut sebagai salah satu elemen pelancongan terhadap kepelbagaian destinasi pelancongan yang menarik di kampus UMS memandangkan kawasan UMS sering menjadi destinasi persinggahan migrasi burung.

“Hasilnya, pada hari ini lebih 50 peserta dalam kalangan pelajar dan staf UMS, bersama-sama ahli SBWA dan IDS bersama-sama menjayakan program ini,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Program setengah hari itu menyaksikan para peserta berkumpul di pintu utama UMS bagi sesi penerangan, sebelum bergerak ke Pantai ODEC bagi aktiviti pemerhatian burung menggunakan binokular.

Para peserta akan menandakan spesies burung yang ditemui mengikut senarai dalam aplikasi eBird, selain turut menggunakan aplikasi Merlin Bird ID untuk mengenali spesies burung yang ditemui.

Hadir sama pada acara tersebut Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim dan Pengarah BTRC, Prof. Madya Dr. Balvinder Kaur Kler. SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular