HomeUtamaPencapaian luar biasa Dr.Justin Sentian kebanggaan Malaysia

Pencapaian luar biasa Dr.Justin Sentian kebanggaan Malaysia

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kota Kinabalu: Pencapaian luar biasa dan cemerlang saintis Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Justin Sentian berjaya merintis perjalanan ke benua Antartika pada musim sejuk merupakan kebanggaan kepada rakyat Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian Dr. Justin bukan sahaja melampaui kejayaan peribadi beliau, tetapi juga satu tanda kejayaan dan kebanggaan untuk negara kita Malaysia, negeri Sabah dan juga UMS.

Katanya, pencapaian Dr. Justin membolehkannya diberi dua pengiktirafan serentak dalam Malaysian Book of Records, sebagai rakyat Malaysia pertama yang menjalankan penyelidikan pada musim sejuk dengan keadaan cuaca melampau dan juga rakyat Malaysia pertama yang tinggal paling lama di benua Antartika iaitu selama tujuh bulan.

“Seiringan dengan pencapaian ini, pengiktirafan juga diberikan kepada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) sebagai penganjur ekspedisi penyelidikan musim sejuk pertama di benua Antartika,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan The Malaysia Book of Record Program Penyelidikan Musim Sejuk di Antartika kepada Dr. Justin Sentian dan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di Dewan Bankuasi UMS di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.

Hajiji berkata, pengiktirafan berprestij yang diberikan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan sesuatu di luar daripada kebiasaan dan melambangkan komitmen dan kejayaan negara kita terhadap kecemerlangan dalam inovasi dan penyelidikan saintifik.

“Kemampuan beliau untuk bertahan dan tinggal agak lama di benua Antartika dalam keadaan cuaca melampau pada musim sejuk, menunjukkan ketabahan dan komitmen yang sangat tinggi, bukan sahaja dalam penyelidikan beliau berkaitan dengan perubahan iklim dan dinamik kimia atmosfera di Antartika, tetapi juga dari segi aspek ketahanan fizikal dan mental yang sangat luar biasa.

“Saya percaya, perjalanan beliau ke Antartika mencerminkan semangat, tekad dan rasa ingin tahu yang sangat mendalam dan semangat ini mampu menjadi sumber inspirasi

dan teladan, bukan sahaja kepada golongan penyelidik, tetapi kepada seluruh masyarakat terutama generasi muda”, katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, geran penyelidikan yang dianugerahkan kepada Dr. Justin Sentian telah menyumbang secara signifikan kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan pemahaman mengenai Antartika, terutama dalam bidang perubahan iklim, yang kini merupakan isu global yang hangat dibincangkan.

Katanya, kecemerlangan program akademik yang ditawarkan di UMS adalah bukti bahawa dedikasi universiti itu dalam melahirkan penyelidik dan individu yang cemerlang telah memberikan impak positif kepada negara dan seluruh rakyat. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Juhar sumbang komputer riba kepada Crisnanalina, Nor Fasha Natashya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular